Rabu, 25 Januari 2017 | 8:46pm

NCIA raih pelaburan RM79.92 bilion

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendengar penerangan daripada Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq (kiri) selepas mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA) dan Program NCIA bersama Komuniti Koridor Utara di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendengar penerangan daripada Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq (kiri) selepas mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA) dan Program NCIA bersama Komuniti Koridor Utara di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) berjaya menarik pembabitan swasta sebanyak RM3.8 bilion dan mewujudkan 12,376 peluang kerja pada 2016.

Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq, berkata sejak penubuhan NCIA pada 2008 hingga 2016, ia berjaya meraih pelaburan terkumpul RM79.92 bilion dan mewujudkan 103,600 peluang kerja.

"Ini selaras dengan objektif utama NCIA iaitu 'Pembangunan Berteraskan Kesaksamaan Sosial'.

"Melalui Pelan Tindakan 2017 pula, NCIA menjangkakan pelaburan akan dijana pertumbuhan baharu seperti Lembah Chuping, Kedah Rubber City, Taman Sains dan Teknologi Kedah serta Greater Kamunting.

"NCIA percaya projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) boleh bantu negara mencapai ekonomi RM2 trilion menjelang 2023," katanya pada sidang media selepas mesyuarat NCIA ke-17 yang dipengerusikan Datuk Seri Najib Razak di sini, petang tadi.

Perdana Menteri juga meluangkan masa beramah mesra dengan 21 penduduk setempat yang menerima manfaat pembangunan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Beliau turut mendengar pengalaman lima penerima manfaat 'Program NCIA Bersama Komuniti Koridor Utara'.

Redza menjelaskan, pertumbuhan baharu dalam perancangan NCIA menunjukkan sifat saling bergantungan antara kerajaan, swasta dan masyarakat setempat.

Katanya, ia akan menjadi tulang belakang kepada pembangunan ekonomi wilayah NCIA untuk tempoh 15 tahun akan datang.

Berita Harian X