Khamis, 19 Januari 2017 | 4:26pm

Kaedah CRISPR rawat kanser kepala, leher

DR Teo Soo Hwang (kiri), Dr Ultan Mcdermott (tengah) dan Dr Cheong Sok Ching selepas sidang media di Pusat perubatan Subang Jaya. -Foto NSTP Sairien Nafis
DR Teo Soo Hwang (kiri), Dr Ultan Mcdermott (tengah) dan Dr Cheong Sok Ching selepas sidang media di Pusat perubatan Subang Jaya. -Foto NSTP Sairien Nafis

SUBANG JAYA: Teknik menyunting kelompok ulangan palindromic kerap interspaced (CRISPR-CAS9) akan digunakan sebagai salah satu rawatan bagi merawat pesakit kanser kepala dan leher.

Teknik itu membolehkan penyelidik memotong DNA kromosom di lokasi terpilih untuk mengeluarkan atau memasukkan segmen DNA baharu.

Ketua kumpulan Projek Kanser Genom, Dr Ultan McDermott, berkata CRISPR sudah dikaji sejak tahun 2012 dan adalah teknologi yang sangat hebat dan berkesan serta jauh lebih mudah.

"Setiap orang mempunyai 20,000 gen dan antara gen terbabit ada mengandungi titik kelemahan kanser. Melalui CRISPR, kita dapat mengesan tempat di mana adanya kesan kanser.

"Ia memudahkan doktor merawat pesakit kanser dengan memberi ubat yang bersesuaian dengan kanser berkenaan kerana setiap jenis kanser mempunyai ubat tersendiri," katanya ketika ditemui BH, di Pusat Perubatan Subang Jaya, di sini.

Sementara itu, Ketua Projek Kumpulan, Penyelidikan Kanser Kepala dan Leher, Profesor Dr Cheong Sok Ching, berkata kebanyakan ubatan dan rawatan kanser di Malaysia memfokuskan kepada kanser payudara dan usus.

Bagaimanapun, katanya, kanser mulut adalah yang paling banyak dihidapi oleh pesakit di negara ini berbanding kanser lain.

"Usaha CRM menjalankan kajian mengenai kanser mulut dapat membantu kami mengenal pasti gen yang mempunyai sel kanser dan memberi peluang untuk mencipta ubat dan rawatan buat pesakit kanser mulut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penyelidikan Kanser Malaysia (CRM), Profesor Dr Teo Soo Hwang, berkata penyelidikan dalam kaedah rawatan itu membuktikan Malaysia juga mampu memberikan rawatan terbaik hingga ke peringkat global.

Kejayaan CRM adalah hasil daripada kerjasama Wellcome Trust Sangar Institut, Penyelidikan Kanser Mulut, Penyelarasan Kanser (OCRCC), Universiti Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Program itu turut menerima sumbangan bernilai RM2.4 juta daripada Yayasan Newton-Ungku Omar.

Berita Harian X