Rabu, 11 Januari 2017 | 1:33pm

DAP perlu pecat Kit Siang

RAMESH Rao Krishnan (kiri) dan Lim Kit Siang.
RAMESH Rao Krishnan (kiri) dan Lim Kit Siang.

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin menuntut DAP memecat dan tidak mencalonkan lagi penasihat parti itu, Lim Kit Siang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang kerana menghasut serta memfitnah Barisan Nasional (BN) kononnya menyeleweng dan rasuah.

Presidennya, Ramesh Rao Krishnan, berkata tindak tanduk Kit Siang yang mesra dan rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah beliau gelar Bapa Rasuah, memberi tanda yang Ahli Parlimen Gelang Patah itu hanya berbohong serta memfitnah.

"DAP sepatutnya memecat Kit Siang kerana berbohong dan memfitnah kepada ahli dan masyarakat. Adakah segala yang didakwa beliau sejak 1969 terhadap BN itu hanya fitnah dan sengaja menghasut rakyat?

"Pada masa sama, jika Kit Siang seorang yang berintegriti, beliau sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Gelang Patah memandangkan beliau tidak pernah menafikan dakwaannya selama ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum mendesak DAP memecat Kit Siang dari parti itu di luar ibu pejabat DAP di sini, hari ini.

Ramesh Rao berkata, hubungan mesra Kit Siang dengan Dr Mahathir selaku Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sejak kebelakangan ini juga membuktikan yang pemimpin DAP itu berbohong kepada rakyat.

"Sejak tahun 1969, Kit Siang menuduh dan mendakwa BN serta Dr Mahathir yang ketika menjadi Perdana Menteri dahulu sebagai parti juara rasuah dan salah guna kuasa.

"Akan tetapi, beliau kini duduk semeja dan berpakat dengan Dr Mahathir, individu yang didakwanya bapa rasuah. Perbuatan ini tidak boleh dimaafkan dan menandakan beliau berbohong serta memfitnah," katanya.

Berita Harian X