X
Rabu, 11 Januari 2017 | 10:48am
Seekor anjing diikat di belakang lori dan diheret di sebatang jalan di kawasan Limbang, Sarawak menjadi viral, kelmarin.
Seekor anjing diikat di belakang lori dan diheret di sebatang jalan di kawasan Limbang, Sarawak menjadi viral, kelmarin.

Kuat kuasa segera Akta Kebajikan Haiwan 2015 di Sabah, Sarawak

TAN Sri Lee Lam Thye. - Foto Mohd Azren Jamaludin
TAN Sri Lee Lam Thye. - Foto Mohd Azren Jamaludin

KUALA LUMPUR : Persatuan Pencinta Haiwan Selangor (SPCA) menyeru kerajaan pusat dan kerajaan negeri mencari jalan untuk membolehkan Akta Kebajikan Haiwan 2015 dikuatkuasakan segera di Sabah dan Sarawak.

Saranan berkenaan diutarakan SPCA susulan viral kes kekejaman terhadap seekor anjing yang diikat di belakang lori dan diheret di sebatang jalan, dipercayai di kawasan Limbang, Sarawak.

Penaung SPCA, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata akta berkenaan diluluskan tahun lalu dengan hukuman kesalahan menzalimi haiwan boleh didenda RM20,000 dan maksimum RM100,000 serta penjara sehingga tiga tahun.

Beliau berkata, kekejaman terhadap haiwan merangkumi tindakan memukul, meracun, mengurung dan membiarkan haiwan tanpa penjagaan.

"Kita tidak boleh bertolak ansur dengan tindakan tidak berperikemanusiaan sebegini dan mereka yang terbabit perlu dihukum dengan tegas.

"Saya amat berharap pelaku kesalahan itu dikenakan tindakan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015... malangnya akta belum diperluaskan di Sabah dan Sarawak," katanya dalam satu kenyataan.

Kelmarin, gambar anjing malang itu menjadi viral dan satu laporan polis dibuat di Kuching, Sarawak. Ketika ini, polis daerah Limbang sedang menjalankan siasatan lanjut di bawah Ordinan Kekejaman Terhadap Haiwan (Pencegahan) Sarawak 1963.

Lam Thye yang turut memuji tindakan pantas orang awam dan polis berkata, polisi berkaitan kebajikan haiwan penting sebagai sebuah negara maju 2020.

Katanya, statistik Jabatan Perkhidmatan Haiwan pada 2015 menunjukkan sebanyak 334 aduan berkaitan kekejaman terhadap haiwan dilaporkan manakala pada 2014 ada 266 aduan; 2013 (255); 2012 (280); 2011 (168); 2010 (134) dan 2008 (288).

"Kajian selama 20 tahun di Massachusetts, Amerika Syarikat menunjukkan individu menzalimi haiwan cenderung lima kali lebih tinggi melakukan perkara sama terhadap kanak-kanak, wanita dan menjadi masalah dalam masyarakat.

"Biro Siasatan Persekutuan (FBI) juga menggariskan kezaliman terhadap haiwan sebagai amaran penting untuk mengenali individu yang cenderung melakukan kekejaman terhadap orang lain," katanya.

Jelas Lam Thye, kekejaman haiwan boleh dihindari menggunakan lima prinsip kebebasan iaitu, haiwan bebas daripada lapar dan dahaga; bebas daripada keadaan tidak selesa dan bebas daripada kesakitan, kecederaan dan penyakit.

Di samping itu, haiwan juga bebas untuk menunjukkan sifat semula jadi dan bebas daripada ketakutan dan tekanan.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai bertanggungjawab menjaga kebajikan mereka kerana haiwan tidak boleh berbicara atau mendapatkan pertolongan apabila dizalimi.

"Hukuman punitif perlu dikenakan pada mereka yang menzalimi haiwan, selain meningkatkan kempen untuk mendidik pemilik haiwan mengenai tanggungjawab mereka," katanya.

Berita Harian X