Isnin, 9 Januari 2017 | 3:19pm

Kanak-kanak terabai tidak berseorangan

GEMENCHEH: Siasatan polis mendapati dua anak wanita yang ditahan berhubung kes pengabaian kanak-kanak di sini, berada di rumah berkenaan sebelum kehadiran polis dan penduduk, tengah malam Khamis lalu.

KETUA Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman
KETUA Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak, berkata siasatan memasuki fasa baharu dengan penemuan itu.

"Kita dapati dua anak suspek masing-masing berusia 13 dan 14 tahun, berada di rumah berkenaan bagi menemani kanak-kanak tiga tahun yang dikatakan terlalu lasak itu.

"Bagaimanapun, dua beradik itu keluar menerusi tingkap belakang kerana menyangka penduduk yang mengetuk pintu adalah perompak," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mendapati suspek memberi keterangan awal mengelirukan, termasuk mendakwa kanak-kanak itu anak tidak sah taraf hasil hubungannya dengan lelaki lain sedangkan dia mengambil upah menjaga anak rakannya.

Hamazah berkata, tindakan suspek itu mungkin disebabkan tertekan atau mahu melindungi identiti ibu kandung kanak-kanak berkenaan yang melahirkan kanak-kanak itu tanpa berkahwin.

Beliau berkata, pemeriksaan perubatan tidak menemui kesan penderaan pada tubuh kanak-kanak berkenaan.

Katanya, pihaknya sudah mengambil keterangan seorang wanita berusia 37 tahun yang mendakwa dirinya sebagai ibu kandung kanak-kanak itu dan akan melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Kes disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001.

Kanak-kanak itu diselamatkan selepas penduduk kampung terdengar suara tangisannya sebelum dia ditemui dalam keadaan bogel dan terbaring kelaparan dalam bilik gelap di rumah itu pada jam 12.45 tengah malam Khamis lalu.

Berita Harian X