Ahad, 8 Januari 2017 | 2:17pm

Bantu bersih 3 sekolah terjejas teruk

RANTAU PANJANG: Pasukan keselamatan bergotong-royong membantu membersihkan tiga sekolah di sini, yang terjejas akibat banjir, sebagai persediaan sebelum sekolah berkenaan dibuka esok.

Program gotong-royong itu diketuai Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang yang turut disertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pihak sekolah.

Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Mohd Adni Ibrahim, berkata gotong-royong yang bermula jam 9 pagi itu bertujuan membantu pihak sekolah yang terjejas teruk akibat banjir.

"Tiga sekolah yang terpilih hari ini adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 1, SK Rantau Panjang 2 dan SK Gual Tinggi. Kita membahagikan tiga pasukan untuk menjayakan program gotong-royong ini.

"Pada masa sama, kami turut mendapat bantuan masyarakat setempat dan secara keseluruhan seramai 500 orang terbabit dalam kerja pembersihan ini.

GURU bersama kakitangan SK Rantau Panjang 1 bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah selepas keadaan semakin pulih akibat banjir. - Foto Fathil Asri
GURU bersama kakitangan SK Rantau Panjang 1 bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah selepas keadaan semakin pulih akibat banjir. - Foto Fathil Asri

"Kita menggunakan dua jentera bomba yang berisi 20,000 liter air untuk membersihkan kawasan sekolah," katanya ketika menjalankan operasi pembersihan di SK Sri Rantau Panjang 1 di sini, hari ini.

Adni berkata, SK Sri Rantau Panjang 1 paling terjejas teruk kerana dinaiki air mencecah dua meter, menyebabkan banyak harta benda rosak, selain lumpur tebal.

"Kerjasama semua pihak hari ini sangat dihargai bagi membantu meringankan beban pihak sekolah, sekali gus memberi keselesaan buat anak-anak untuk memulakan persekolahan," katanya.

Berita Harian X