Sabtu, 7 Januari 2017 | 5:48pm

Tidak perlu berdolak-dalik

SENATOR Khairul Azwan Harun.
SENATOR Khairul Azwan Harun.

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, tidak perlu berdolak-dalik serta berperangai kebudak-budakan.

Kedua-dua pemimpin politik berkenaan didakwa cuba mengalih perhatian umum berhubung perancangan mutlak menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sekiranya pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Senator Khairul Azwan Harun, berkata semua cerita yang diuar-uarkan kedua-dua pemimpin pembangkang itu dilihat bertujuan menutup perancangan mereka pada masa depan.

Sebagai ahli politik, katanya, Mukhriz dan Kit Siang pasti mempunyai cita-cita besar dalam arena politik tanah air.

"Penjelasan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mungkin mempunyai asas.

"Sekarang Mukhriz dan Kit Siang hanya perlu buat kenyataan bersumpah menafikan mereka bukan calon sulit bagi jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 30 Disember lalu, Tunku Abdul Aziz yang juga bekas Naib Presiden DAP, mendakwa wujud pakatan sulit antara Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Kit Siang berhubung siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Dakwa Tunku Abdul Aziz, tanpa pengetahuan parti sekutu lain terutama PKR, kedua-dua pemimpin itu dikatakan membuat perjanjian rahsia untuk melantik Mukhriz sebagai Perdana Menteri manakala Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Kenyataan itu membuatkan Mukhriz mendesak Tunku Abdul Aziz mendedahkan identiti pemberi maklumat manakala Kit Siang menafikan berlaku pertemuan sulit pada 3 Disember tahun lalu.

Berita Harian X