Selasa, 3 Januari 2017 | 1:29pm

MPK perlu bertanggung jawab insiden bunga api

MAJLIS Perbandaran Klang (MPK).
MAJLIS Perbandaran Klang (MPK).

KLANG: MCA bahagian Klang meminta Majlis Perbandaran Klang (MPK) memberi penjelasan serta bertanggungjawab terhadap 14 penonton yang terkena percikan bunga api pada program Fiesta GEGAR Klang 2016 di Kompleks Sukan Pandamaran di sini, tengah malam Ahad lalu.

Naib Ketua MCA Bahagian Klang, Datuk Dr Azman Ching, berkata MPK perlu membayar pampasan selain menanggung kos rawatan penonton yang menjadi mangsa kecuaian mereka pada sambutan tahun baharu itu.

"Pampasan yang setimpal perlu diberikan. Akibat kecuaian mereka, penonton bukan sahaja cedera tapi berisiko untuk maut kerana ketika percikan bunga api itu berlaku, penonton dalam keadaan cemas. 

"Kita juga dimaklumkan pihak polis tidak menerima permohonan daripada penganjur untuk mengadakan pertunjukan bunga api pada malam itu. Jadi bagaimana MPK boleh membenarkan pengendali acara itu mengadakan pertunjukan bunga api?" katanya ketika ditemui di Pejabat Khidmat Masyarakat MCA di Pandamaran, di sini, hari ini. 

Katanya, bunga api berkenaan juga berkemungkinan sudah melebihi tarikh luput dan rosak, justeru itu ia terpercik ke arah penonton yang berada berdekatan.

"Jangka hayat bunga api adalah dua tahun sahaja dan kebiasaannya bunga api yang masih elok akan meletup di atas dan bukan di bawah seperti yang terjadi pada Ahad lalu," katanya.

Azman berkata, MPK bukan sahaja dilaporkan tidak memohon kebenaran mengadakan pertunjukan bunga api tetapi pengendali acara juga tidak mempunyai lesen. 

Katanya, siasatan mendalam perlu dilakukan agar tiada lagi insiden sedemikian berlaku di masa hadapan.

Berita Harian X