Rabu, 28 Disember 2016 | 11:31pm

Mercy M'sia bantu pelarian dari Aleppo, Syria

Norazam (kanan) di Kem IDP Sarmada di Idlib, Syria. Ada 5,000 keluarga pelarian Syria di sini termasuk dari Aleppo.
Norazam (kanan) di Kem IDP Sarmada di Idlib, Syria. Ada 5,000 keluarga pelarian Syria di sini termasuk dari Aleppo.

KUALA LUMPUR: Dua sukarelawan Mercy Malaysia kini berada di Idlib di wilayah Syria dalam usaha menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Syria, termasuk pelarian dari Aleppo.

Mereka akan menyampaikan bantuan 1,000 kotak makanan kepada pelarian, termasuk 5,000 pelarian di kem pelarian dalaman (IDP) Kamuna, Sarmada di Idlib selain melakukan penilaian bantuan kemanusiaan susulan.

Dua sukarelawan terbabit adalah Pengarah Program dan Pembangunan Strategik Mercy Malaysia, Norazam Ab Samah dan pengamal perubatan, Prof Dr Mohammad Iqbal Omar.

Mereka berjaya memasuki wilayah konflik itu selepas beberapa hari berada di sempadan Turki-Syria.

"Kita akan berada di sini untuk beberapa hari bagi melihat keperluan pelarian yang menekan, terutamanya pelarian dari Aleppo selepas kawasan itu diambil alih tentera kerajaan.

"Cuaca sejuk mencecah negatif enam darjah Celsius menyebabkan keperluan bantuan kemanusiaan makin mendesak," kata Norazam dalam kenyataan kepada BH sebentar tadi.

Mercy Malaysia mula menggerakkan sukarelawannya sejak 20 Disember selepas koridor kemanusiaan dibuka di Aleppo yang ditawan semula tentera kerajaan minggu lalu.

Kelmarin, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) turut menghantar empat sukarelawannya untuk membawa bantuan ke Aleppo.

Misi bantuan kecemasan Rescue Syria MAPIM diketuai pengarah strategik dan korporat, Sani Araby Al Kahery itu juga akan membina 1,000 khemah untuk pelarian.

Mercy Malaysia sebelum ini menjalankan program kemanusiaan di Syria sejak 2013, termasuk misi ke Damsyik yang disertai wartawan BH pada Februari 2015.

Badan kemanusiaan itu juga menjalankan program kemanusiaan di sempadan Jordan dan Lubnan.

Maklumat lanjut dan sumbangan dana untuk membantu pelarian di Syria boleh dibuat dengan melayari www.mercy.org.my.

Berita Harian X