Selasa, 20 Disember 2016 | 2:06pm

KPDNKK Johor laksana Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2016

TIMBALAN Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Johor (KPDNKK), Mohamad Mokhtar Yeop (kiri) mendengar penerangan harga ayam dari Ketua Bahagian Pasar Segar, Md Faizal Md Yatim (dua dari kiri) ketika mengadakan Walkabout Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas di Giant Hypermarket Tampoi, Johor Bahru. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor melaksanakan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2016 berkuat kuasa bermula hari ini hingga 28 Disember ini.

Timbalan Pengarah, Mohamad Mokhtar Yeop, berkata skim dilaksanakan selama 10 hari itu antara inisiatif bagi menstabilkan harga barangan keperluan bagi menghadapi musim perayaan.

Katanya, peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum ditentukan kerajaan, selain meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi membezakannya dengan barangan lain.

"Antara 13 barangan harga terkawal termasuk ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam belanda import, daging kambing tempatan bertulang, selain daging kambing/biri-biri import bertulang dan tanpa tulang.

"Barangan lain termasuk daging paha kambing/biri-biri import bertulang, telur ayam gred A, gred B dan gred C, selain tomato serta lada benggala hijau," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Walkabout Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas, di sini, hari ini.

Mohamad Mokhtar berkata, skim berkenaan dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum bagi individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

Katanya, syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.

"Ia secara tidak langsung membolehkan pengguna mendapat barangan perlu musim perayaan pada harga berpatutan dan menyekat peningkatan harga melampau," katanya.

Berita Harian X