Sabtu, 17 Disember 2016 | 1:14am

Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 perlu dikaji semula

PEGUAM Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PEGUAM Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali. - Foto Mohd Fadli Hamzah

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara berpendapat hukuman yang diperuntukkan di dalam Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) perlu dikaji semula.

Merujuk kepada kes seorang ibu tunggal yang didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret atas kesalahan itu di Johor Bahru semalam, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkata sudah tiba masanya kajian terhadap hukuman di bawah peruntukan itu dilaksanakan agar hukuman yang lebih bersesuaian dikenakan.

Mohamed Apandi berkata, hukuman yang dijatuhi terhadap wanita itu adalah hukuman maksimum yang dibenarkan di bawah peruntukan itu.

"Oleh yang demikian, rayuan ke atas hukuman tidak akan dibuat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Tan Yeoh Foong, 53, mengaku bersalah atas tuduhan menulis perkataan 'babi' dengan tujuan membangkitkan kemarahan di atas kertas saman trafik yang diterimanya pada 14 Disember.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias yang menjatuhi hukuman denda itu kepada Tan dan jika gagal membayar denda dikenakan hukuman penjara sebulan, turut menasihati tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatannya itu.

Mengikut kertas pertuduhan, Tan didakwa menulis perkataan kurang sopan, iaitu 'babi' di atas kertas saman yang diterimanya, di Jalan Tun Abdul Razak, Johor Bahru kira-kira 8.55 malam pada Rabu. - BERNAMA

Berita Harian X