Jumaat, 16 Disember 2016 | 3:06pm

Bayi jantung berlubang perlu RM65,000

PEKERJA swasta, Nur Azila Jaafar (kanan) dan suami, Mohd Zahir Musa melihat anak mereka, Nur Aina Nasuha Mohd Zahir yang menghadapi masalah jantung berlubang di wad Institut Jantung Negara. - Foto Adi Safri
PEKERJA swasta, Nur Azila Jaafar (kanan) dan suami, Mohd Zahir Musa melihat anak mereka, Nur Aina Nasuha Mohd Zahir yang menghadapi masalah jantung berlubang di wad Institut Jantung Negara. - Foto Adi Safri

KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan berusia 16 bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang memerlukan bantuan RM65,000 bagi membiayai rawatan tambahan dan pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).

Nur Aina Nasuha Mohd Zahir dari Penaga, Butterworth dikesan menghidap penyakit jantung berlubang dan saluran jantung sempit sejak berusia sebulan selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital di Sungai Petani, Kedah.

Ibunya, Norazila Jaafar, 31, berkata anak bongsu daripada tiga beradik itu terpaksa berulang-alik dari hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Pulau Pinang awal tahun lalu.

Pada 21 November lalu, katanya, Nur Aina Nasuha dirujuk ke IJN untuk mendapatkan rawatan selanjutnya sebelum menjalani pembedahan pertama bagi menutup jantung berlubang.

"Luluh hati ini apabila doktor memaklumkan Nur Aina Nasuha mengalami komplikasi sebaik pembedahan itu dijalankan dan memerlukan rawatan tambahan serta pembedahan kedua.

"Mana saya nak mencari wang untuk menampung kos rawatan tambahan dan pembedahan itu sedangkan pendapatan suami sebagai mekanik penyaman udara hanya RM1,500 sebulan," katanya ketika ditemui BH, di sini, hari ini.

Walaupun Nur Aina Nasuha sudah menerima pembiayaan daripada Yayasan IJN sebanyak RM35,000 bagi menjalani rawatan dan pembedahan pertama, namun dana tambahan diperlukan selepas bayi itu mengalami komplikasi.

Disebabkan komplikasi itu, Nur Aina Nasuha memerlukan rawatan tambahan dan pembedahan kedua iaitu memasukkan peranti pacu jantung 'pacemaker' ke dalam badannya, hari ini.

Peranti menggunakan kuasa bateri yang mampu bertahan 10 tahun itu digunakan supaya dapat memberi tenaga dan kekerapan denyutan sekiranya jantung pesakit tidak bergerak atau perlahan.

Sehubungan itu, Norazila berharap sumbangan orang ramai dapat meringankan beban bagi menampung pembedahan dan rawatan susulan anaknya itu.

"Saya mahu yang terbaik untuk anak saya, tak sanggup tengok keadaan dia sekarang. Saya harap dia tidak mengalami komplikasi lagi selepas pembedahan ini," katanya.

Sementara itu, Pengurus Yayasan IJN, Ritzzawati Rosli Mohd Rosli, berkata pihaknya hanya memperuntukkan RM35,000 untuk setiap pesakit bagi pembiayaan rawatan dan pembedahan menutup lubang pada jantung.

"Namun disebabkan Nur Aina Nasuha mengalami komplikasi selepas pembedahan pertama dijalankan, pihaknya memerlukan dana tambahan kerana kos rawatan yang semakin meningkat bagi menampung kos pembedahan kedua," katanya.

Mereka yang berhasrat untuk membantu kanak-kanak ini boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank 564258577396 atas nama IJN Foundation atau boleh menghubungi talian umum Yayasan IJN di talian 03-26178312 untuk maklumat lanjut.

Berita Harian X