X
Khamis, 15 Disember 2016 | 1:24pm

Tunku Sallehuddin dimasyhurkan Raja Muda Kedah

ALOR SETAR: Adinda Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, sebentar tadi dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah dalam satu istiadat di Istana Anak Bukit, di sini.

Pemasyhuran disempurnakan di hadapan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah, sempena Istiadat Mengangkat Sumpah dan Menandatangani Watikah Sumpah Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah.

Terdahulu, pemasyhuran pelantikan Raja Muda Kedah dibacakan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din, sebelum diikuti lafaz sumpah dan menandatangani watikah sumpah Raja Muda Kedah.

Pemasyhuran turut disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hashim Hamzah dan Ketua Hakim Syarie Kedah, Datuk Syeikh Abd Rahman Abdullah.

Tunku Sallehuddin, 74, yang diputerakan di Alor Setar pada 30 April 1942 dan dibesarkan di Istana Anak Bukit, menggantikan Raja Muda Kedah sebelum ini, Almarhum Tunku Abdul Malik Sultan Badlishah yang mangkat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat gering, tahun lalu.

Tunku Sallehuddin mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah dan meneruskan pengajian di Kolej Sultan Abdul Hamid.

Sebelum ini, baginda dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah menggantikan Allahyarham Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah yang mangkat pada Mei 2014.

SULTAN Kedah, Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah menyerahkan keris kepada Raja Muda Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah dalam satu istiadat di Istana Anak Bukit, Alor Setar, hari ini. - Foto Amran Hamid
SULTAN Kedah, Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah menyerahkan keris kepada Raja Muda Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah dalam satu istiadat di Istana Anak Bukit, Alor Setar, hari ini. - Foto Amran Hamid

Berita Harian X