Rabu, 7 Disember 2016 | 8:16pm

Kebolehpasaran graduan Malaysia meningkat

DATUK Seri Idris Jusoh. - Foto Hafiz Sohaimi
DATUK Seri Idris Jusoh. - Foto Hafiz Sohaimi

PUTRAJAYA: Kadar purata kebolehpasaran graduan Malaysia meningkat sebanyak 1.1 peratus menjadi 77.2 peratus tahun ini berbanding 76.1 peratus pada pada tahun 2015.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kadar purata ini adalah berdasarkan hasil laporan Kajian Pengesanan Graduan 2016 yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sehingga 22 November lalu.

Katanya, kadar purata kebolehpasaran graduan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia dalam tempoh lima tahun mulai 2012 hingga tahun ini juga mencatatkan peningkatan sebanyak 2.8 peratus.

"Graduan Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) menunjukkan peningkatan kebolehpasaran yang memberangsangkan bagi tahun ini yang mana universiti-universiti teknikal Malaysia (MTUN) menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan pada tahap 87.1 peratus disusuli dengan Politeknik (88.6 peratus) dan Kolej Komuniti (97.2 peratus).

"Daripada 224,575 graduan yang menyertai kajian itu, seramai 126,966 (56.5 peratus) memperolehi pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian, 32,063 (14.3 peratus) berjaya melanjutkan pengajian, 5,246 (2.3 peratus) memilih untuk meningkatkan kemahiran dan 9,053 (empat peratus) sedang menunggu penempatan pekerjaan.

"Selebihnya, hanya 51,247 (22.8 peratus) graduan yang didapati masih belum mendapat pekerjaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kajian kebolehpasaran graduan mengikut bidang pengajian pula mendapati graduan dalam pendidikan menunjukkan kebolehpasaran graduan tertinggi iaitu pada kadar 88.3 peratus diikuti graduan bidang teknik (80.2 peratus) serta teknologi maklumat dan komunikasi (78.4 peratus).

Berita Harian X