Selasa, 29 November 2016 | 5:38pm

GPMS sanggah tuduhan berminda konservatif - Zambri

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa

KUALA LUMPUR: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyelar tindakan MCA yang menggelar pertubuhan itu berminda konservatif kerana menggesa kerajaan menolak pengiktirafan ke atas Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi kemasukan ke universiti awam (UA).

Presidennya, Zambri Mohd Isa, berkata mereka tidak konservatif dan perkauman, sebaliknya mahu mempertahankan Dasar Pendidikan Kebangsaan agar tidak dicemari ketidaktelusan peperiksaan itu.

Katanya, selain kurikulum yang diciplak dari Taiwan, peperiksaan itu juga tidak telus kerana bukan dikendalikan Lembaga Peperiksaan Malaysia, sebaliknya badan persendirian Cina iaitu Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Beliau berkata, dakwaan MCA bahawa lepasan UEC diterima masuk ke kebanyakan universiti ternama luar negara tidak relevan dalam konteks Malaysia kerana Dong Zong sendiri mengakui 90 peratus lepasan UEC di Malaysia melanjutkan pengajian di Taiwan berbanding negara lain.

"GPMS ingin mengulangi gesaan yang disuarakan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dalam Persidangan Agung Tahunan GPMS, Ahad lalu supaya kerajaan menolak pengiktirafan ke atas UEC bukan perkauman, tetapi soal kepatuhan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan.

"Keengganan mereka menggunakan sukatan subjek Sejarah yang sama dengan SPM juga membuktikan mereka lebih mengagungkan sejarah negara Taiwan dan China dan langsung tiada semangat patriotisme untuk berbangga dengan sejarah Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Setiausaha Agung MCA, Datuk Wee Jeck Seng, menyifatkan tindakan GPMS menyuarakan kepada Perdana Menteri agar kerajaan menolak pengiktirafan ke atas UEC sebagai berminda konservatif.

Zambri berkata, kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, bahawa UEC boleh diiktiraf jika mereka menggubal kurikulum selaras Dasar Pendidikan Kebangsaan menggunapakai silibus Bahasa Melayu yang setara dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah cukup membuktikan kerajaan memberi ruang yang luas kepada mereka jika mahu UEC diiktiraf.

Katanya, menerusi pindaan Akta Pendidikan 1996, kerajaan memberi peluang kepada lepasan UEC untuk menyambung pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) seluruh Malaysia, serta menerima mereka memasuki Institut Pendidikan Guru (IPG).

"Persoalannya, berapa ramai lepasan UEC yang mengambil peluang untuk menyambung pengajian di IPTS, jika statistik Dong Zong menyatakan 90 peratus lepasan peperiksaan itu mengikuti pengajian di Taiwan?" katanya.

Dalam pada itu, Zambri berkata pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) juga diberi pilihan untuk mengambil peperiksaan SPM bersama dengan UEC jika mereka mahu memasuki UA, namun tidak ramai merebut peluang berkenaan.

Berita Harian X