Jumaat, 25 November 2016 | 12:01am

Penyakit prostat

KALENJAR prostat merupakan sebuah organ sebesar kacang berangan di dalam tubuh badan golongan lelaki. Organ ini terletak di bawah pundi kencing dan fungsinya adalah untuk menghasilkan cecair yang akan menjadi sebahagian daripada air mani. Kalenjar prostat mungkin mengalami keradangan - 'prostatitis', pembesaran-'benign prostatic hyperplasia' dan kanser.

Keradangan

Ini bermaksud infeksi dan pembesaran kalenjar prostat. Gejala penyakit ini ialah sakit dan susah ketika membuang air kecil, perlu membuang air kecil dengan kerap dan secara segera, sakit di bahagian sulit, pinggang dan perut, berserta simptom selsema. Penyakit ini lebih kerap berlaku di kalangan lelaki berusia kurang dari 50 tahun. Masalah ini disebabkan infeksi dengan bakteria, kecederaan, atau masalah imun.

Komplikasi dari keradangan termasuk infeksi darah, keradangan organ-organ berdekatan dan kemandulan. Penyakit ini dirawat dengan menggunakan ubat antibiotik, ubat tahan sakit dan 'alpha blockers' untuk memudahkan aliran air kencing.

'Benign Prostatic Hyperplasia (BPH)'

Penyakit ini biasa berlaku apabila umur lelaki mencecah 50 tahun. Dalam BPH, kalenjar prostat membesar disebabkan hormon tidak seimbang. Gejala penyakit ini termasuk kerap buang air kecil terutamanya pada waktu malam, susah untuk bermula membuang air, air kencing menitik pada tahap akhir dan rasa tidak puas setelah habis buang air kecil.

Faktor-faktor yang menyumbang kepada penyakit ini selain usia meningkat adalah sejarah keluarga, penyakit diabetes dan obesiti. Komplikasi BPH termasuk infeksi salur kencing, batu karang dan kerosakan pundi kencing dan buah pinggang. BPH dirawat dengan menggunakan ubat seperti 'alpha blockers' yang mengurangkan ketegangan otot, dan '5 alpha reductase inhibitors', yang mengurangkan saiz kalenjar prostat. Doktor mungkin juga akan menasihatkan pembedahan untuk merawat BPH.

Kanser Prostat

Di Malaysia, kanser prostat merupakan antara kanser yang paling kerap dihidapi oleh golongan lelaki, terutamanya apabila usia mencecah 50 tahun. Di peringkat awal kanser prostat, penghidap tidak akan mengalami apa-apa gejala, dan ini merupakan faktor mengapa ujian saringan untuk penyakit ini amat penting, terutamanya ketika usia meningkat.

Kanser prostat hanya akan menimbulkan gejala di peringkat akhir, seperti;

  • kerap membuang air kecil
  • aliran air kencing yang perlahan
  • kehadiran darah dalam air kencing
  • sakit tulang dan lumpuh
  • rosak buah pinggang
  • kanser yang merebak ke otak

Ujian Saringan

Ini adalah penting untuk mengesan kanser prostat, dan boleh dilakukan melalui ujian darah yang dipanggil 'prostate specific antigen (PSA)'. PSA dihasilkan oleh keduadua sel normal dan sel kanser dalam kalenjar prostat. Dalam kebanyakan orang lelaki, tahap PSA yang normal ialah 4ng/ml darah.

Apabila seseorang menghidap kanser prostat, tahap PSA akan naik lebih tinggi daripada 4ng/ml. Pesakit perlu berjumpa dengan Pakar Perunding Urologi, iaitu pakar dalam bidang kesihatan lelaki. Doktor akan memeriksa pesakit tersebut dan antara pemeriksaan yang dilakukan termasuk pemeriksaan melalui ruang dubur. Ini bertujuan untuk memeriksa organ kalenjar prostat. Doktor mungkin melakukan ujian ultrasound melalui ruang dubur, dan mengambil sampel sel dari kalenjar prostat. Ujian ini dipanggil 'trans-rectal ultrasound (TRUS) biopsy'.

TRUS Biopsy

Ujian ultrasound melalui ruang dubur dilakukan untuk melihat kalenjar prostat dan semua tisu-tisu di sekeliling organ tersebut. Sebuah prob akan dimasukkan ke dalam ruang dubur dan gelombang bunyi yang tidak merbahaya akan dihantar ke prostat dan tisu yang mengelilinginya.

Ujian TRUS dilakukan untuk;

  • melihat saiz dan bentuk prostat
  • mencari kawasan yang tidak normal dalam prostat
  • memberi panduan semasa doktor ingin mengambil sampel sel dari kalenjar prostat. Sampel ini akan diperhatikan melalui mikroskop untuk mencari kehadiran sel kanser.

Rawatan

Pilihan rawatan untuk kanser prostat ialah;

  • tunggu dengan berwaspada
  • pembedahan sama ada terbuka atau dengan menggunakan robot
  • rawatan radiasi
  • rawatan hormon
  • kemoterapi

Pilihan rawatan akan bergantung kepada peringkat dan gred kanser tersebut, usia dan jangka hayat pesakit, kemudahan yang sedia ada di hospital serta latihan dan pengalaman pakar bedah.

Pembedahan Terbuka

Ini dilakukan di bawah bius awam dan memerlukan pemotongan sepanjang 4-5 inci. Organ-organ dapat dilihat terus. Kalenjar prostat akan dikeluarkan dan tisu di sekeliling tidak akan diusik. Ini termasuk otot yang mengawal pembukaan pundi kencing dan urat saraf yang membolehkan pendirian zakar.

Pembedahan Robotik

Ini merupakan pembedahan yang dilakukan menggunakan robot yang dikawal oleh pakar bedah dari konsol. Pembedahan robotik membolehkan pakar bedah melangsungkan pembedahan yang rumit dengan lebih ketepatan, fleksibiliti dan kawalan. Kamera akan dimasukkan ke dalam badan dan imej dapat diperbesarkan berganda kali.

Dato' Dr. Sahabudin bin Raja Mohamed merupakan Pakar Perunding Kanan Urologi di Prince Court Medical Centre. Menurut beliau, pembedahan robotik membolehkan pengekalan urat saraf disebabkan penglihatan dalam tiga dimensi (3D). Pengurangan pergerakan ketika membedah juga akan mengurangkan trauma kepada organ-organ sekeliling. Pembedahan robotik membolehkan pergerakan 7 darjah, yang menyebabkan pakar bedah melakukan pembedahan dengan presisi dan mengeluarkan organ tanpa menggunakan haba. Faktor-faktor ini menyebabkan urat saraf terlindung dan pesakit akan dapat mengawal air kencing dan memperolehi pendirian zakar dengan lebih baik berbanding pembedahan terbuka. Pesakit juga akan pulih dan kembali ke aktiviti seharian dengan lebih cepat.

Pakar Perunding Kanan Urologi Prince Court Medical Centre, Dato’ Dr. Sahabudin bin Raja Mohamed.
Pakar Perunding Kanan Urologi Prince Court Medical Centre, Dato’ Dr. Sahabudin bin Raja Mohamed.

Perbandingan antara Pembedahan Terbuka dan Pembedahan Robotik

Pembedahan terbuka- 'retropubic radical prostatectomy (RRP)' merupakan prosedur yang dikaitkan dengan beberapa komplikasi. Kajian telah menunjukkan bahawa pembedahan robotic - 'Robot-assisted radical prostatectomy (RARP)' membolehkan kanser dikawal dengan lebih baik, dan prosedur ini mendapat keputusan yang lebih baik dari segi pengekalan pendirian zakar. Kajian oleh Novara dan lain-lain menunjukkan bahawa RARP mempunyai kadar kanser berulang dan keperluan melalui transfusi darah yang rendah, tetapi kawalan kanser adalah sama untuk kedua-dua prosedur ini. Prosedur RARP menyebabkan pesakit dapat mengawal air kencing dengan lebih baik, dan mereka juga lebih cepat dapat mengawal air kencing dengan sepenuhnya, berbanding pesakit RRP.

Satu lagi kajian mendapati bahawa pendirian zakar selepas satu tahun untuk pesakit RARP ialah lebih dari 80% manakala hanya 50% untuk RRP di mana lebih ramai pesakit ini akan mengalami masalah mati pucuk. Menurut keputusan tempatan, Dato' Dr. Sahabudin berkata bahawa berdasarkan 75 pesakit pertama yang dibedah oleh beliau di Prince Court Medical Centre dari tahun 2008 hingga 2011, kawalan air kencing sepenuhnya selepas RARP ialah lebih dari 97%, dan kadar pinggir positif adalah serendah 8%.

Sebuah panel pakar dunia dalam bidang RARP telah bertemu di Pasadena, California di Amerika Syarikat pada tahun 2012 dan memutuskan bahawa RARP tidak mempunyai kontraindikasi. RARP mengurangkan pendarahan dan kadar transfusi darah. Ia mempunyai manfaat di mana pesakit dapat mengawal air kencing dan risiko mengalami masalah mati pucuk adalah kurang. Kedua-dua prosedur mempunyai kadar kawalan kanser yang sama. Pesakit RARP hanya perlu tinggal 2-3 hari di hospital, iaitu masa yang lebih singkat berbanding pembedahan terbuka. RARP juga tidak memerlukan kebanyakkan pesakit mengalami rawatan radiasi, dan faktor ini akan meningkatkan kualiti hidup pesakit dan juga mengurangkan kos rawatan.

Percubaan klinikal sedang dilakukan untuk mengkaji dengan lebih terperici keberkesanan RARP berbanding RRP dan percubaan ini dijangka akan tamat pada tahun 2018.

www.princecourt.com

www.facebook.com/princecourtmc

www.twitter.com/princecourtmc

Berita Harian X