Sabtu, 12 November 2016 | 6:20pm

Ammonia nitrogen tinggi punca ikan mati

ANTARA ikan yang mati akibat pencemaran di Sungai Bernam. - Foto Amrullah Abdul Karim
ANTARA ikan yang mati akibat pencemaran di Sungai Bernam. - Foto Amrullah Abdul Karim

IPOH: Kejadian ribuan ikan mati di Sungai Bernam dekat Tanjung Malim kelmarin dipercayai berpunca daripada tahap kandungan ammonia nitrrogen yang dikesan melebihi had ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam di sungai berkenaan.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Abdul Razak Abd Manap, berkata berdasarkan laporan Loji Air Selangor (LAS), tahap ammonia nitrogen dikesan di sungai berkenaan adalah 27.6 ppm (bahagian setiap juta) iaitu melebihi had KKM sebanyak 1.5 ppm.

Katanya, susulan daripada kes ikan mati di sungai berkenaan, LAS di Sungai Selisik ditutup pada jam 9 malam kelmarin dan dibuka semula jam 6 pagi semalam bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap sungai terbabit.

"Semalam, Jabatan Perikanan Batang Padang dan Sabak Bernam sudah mengambil sampel air dan ikan untuk siasatan lanjut namun JAS Perak tidak dapat menjalankan 'sampling' berikutan keadaan air di sungai itu sangat deras berikutan hujan di bahagian hulu sungai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, kes ikan mati di sungai itu bukan kali pertama berlaku malah pihaknya pernah memanjangkan surat ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta menghantar salinan kepada pegawai Air Selangor untuk tindakan lanjut.

Semalam, Jabatan Perikanan dan JAS Perak menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian ikan di Sungai Bernam dan beberapa sungai kecil di sempadan negeri itu dan Selangor.

Pegawai kedua-dua jabatan itu juga sudah mengambil sampel air dan ikan yang mati bagi dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Berita Harian X