Jumaat, 11 November 2016 | 9:31pm
Seorang penduduk tempatan, Mohd Hamzah Halim menunjukkan seekor ikan Baung seberat lima kilogram yang diperolehi di Sungai Bernam. Ribuan ikan di Sungai Bernam dekat sini mati dipercayai akibat pencemaran sungai berkenaan, semalam. Sungai itu turut membekalkan air ke enam kampung di Selangor yang bersempadan dengan Perak. - Foto Rosman Shamsuddin

Perikanan, JAS siasat punca ikan mati di Sungai Bernam

Ribuan ikan di Sungai Bernam dekat sini mati dipercayai akibat pencemaran sungai berkenaan, semalam. Sungai itu turut membekalkan air ke enam kampung di Selangor yang bersempadan dengan Perak. - Foto Rosman Shamsuddin

TANJUNG MALIM: Jabatan Perikanan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian ikan di Sungai Bernam dan beberapa sungai kecil di sempadan negeri itu dan Selangor.

Pegawai kedua-dua jabatan itu mengambil sampel air dan ikan yang mati bagi dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Siasatan pegawai Jabatan Perikanan dilakukan semalam, manakala JAS menghantar pegawainya melakukan tugas sama hari ini.

Pegawai Perikanan, Jabatan Perikanan negeri, Nummeran Mohd Nordin, berkata siasatan dan sampel air dan ikan dilakukan di kawasan Sungai Behrang hingga ke Loji Air Selisik di Selangor.

"Kawasan siasatan merangkumi 12 kilometer untuk persampelan air iaitu dari Sungai Selisik.

"Kematian ikan juga masih ada di Sungai Inki di Selangor dan memasuki Sungai Bernam hingga Kuala Slim Perak.

Pegawai Jabatan Perikanan Daerah Tapah sedang menguji sampel air sungai yang diambil dekat Behrang di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Selisik. - Foto Rosman Shamsuddin
Pegawai Jabatan Perikanan Daerah Tapah sedang menguji sampel air sungai yang diambil dekat Behrang di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Selisik. - Foto Rosman Shamsuddin

"Jenis ikan yang mati termasuk kelah, lampam, terbol, susu batang, sebarau dan baung," katanya ketika dihubungi hari ini.

Nummeran berkata, sampel ikan dan air dihantar ke makmal Jabatan Kimia di Ipoh untuk analisis parameter keracunan dan pencemaran dan pihaknya masih menjalankan pemantauan susulan untuk mengetahui status dan punca sebenar kes itu.

Pengarah JAS Perak, Abdul Razak Abd Manap yang dihubungi turut mengesahkan menghantar pasukan siasatan selepas menerima maklumat itu.

"Pihak kami juga akan mengambil sampel air untuk dianalisa, namun keputusannya mengambil sedikit masa kerana ia perlu dihantar ke Jabatan Kimia," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Selisik, Ishak Ahmad, berkata pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Muallim serta pihak dari Selangor seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Unit Pemantauan Sungai Selangor turut menyiasat kawasan penternakan, pertanian dan perkilangan di tepi sungai bagi mengesan punca pencemaran.

Berita Harian X