Ahad, 6 November 2016 | 9:41pm

Belian pelancong cecah RM11.7 bilion

PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump (kanan) bersama Ketua Eksekutif (CEO) Apple Inc, Tim Cook. - Foto AFP
PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump (kanan) bersama Ketua Eksekutif (CEO) Apple Inc, Tim Cook. - Foto AFP

ALOR GAJAH: Komponen membeli-belah mencatatkan pendapatan sebanyak RM11.7 bilion atau 31.4 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelancongan berjumlah RM37.4 bilion pada separuh tahun pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata pendapatan berkenaan menjadikan sektor itu sebagai penyumbang utama kepada pendapatan pelancongan negara.

"Pada tahun 2015, perbelanjaan membeli-belah pelancong mencatatkan pendapatan bernilai RM21.63 billion, iaitu 31.3 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan pelancongan negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Jualan Akhir Tahun 1Malaysia (1MYES) 2016 yang bermula 1 November lalu hingga 31 Disember ini di Freeport A'Famosa Outlet (FAO), Simpang Ampat, di sini, petang tadi.

Hadir sama, Timbalan EXCO Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Wira Ghazale Muhamad; Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ab Ghaffar A Tambi.

Mas Ermieyati berkata, 10 negara teratas yang menyumbang kepada pendapatan beli belah sektor pelancongan negara ialah Singapura, Indonesia, China, Brunei, India, Thailand, Australia, United Kingdom, Jepun dan Filipina.

"Sektor pelancongan negara menerima banyak pengiktirafan antarabangsa dan Kuala Lumpur diiktiraf sebagai antara Destinasi Beli Belah Terbaik Dunia oleh Expedia UK serta Bandar Membeli Belah Kedua Terbaik Dunia oleh Muslim Travel Shopping Index 2015.

"FAO yang mula beroperasi tahun lalu turut melonjakkan namanya menjadi antara destinasi popular beli belah bagi pelancong dalam dan luar negara berikutan lokasi yang strategik serta kepelbagaian koleksi pilihan fesyen dan aksesori berjenama," katanya.

Berita Harian X