Jumaat, 4 November 2016 | 12:51pm

NIOSH anjur 'OSH in School'

PENGERUSI Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thyee (kanan). - Foto Izhari Ariffin
PENGERUSI Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thyee (kanan). - Foto Izhari Ariffin

KUALA LUMPUR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) yakin aktiviti keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di sekolah dapat meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan pelajar serta guru menerusi program 'OSH in School.'

Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata sebagai organisasi yang bertanggungjawab menggalakkan dan menjalankan aktiviti berkaitan OSH, program itu diharap dapat diperluaskan di lebih banyak institusi pendidikan terutama sekolah di negara ini.

Beliau berkata, projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu boleh dijayakan dengan sokongan dan tajaan bukan saja daripada kerajaan, malah membabitkan syarikat korporat.

"Jika semua orang menjadikan keselamatan sebagai keutamaan, kemalangan boleh dielakkan.

"Melalui pendidikan keselamatan dan kesihatan juga, setiap sekolah akan lebih bersedia apabila berdepan kes kecemasan yang mungkin berlaku," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pendawaian elektrik di 2,086 sekolah berusia lebih 20 tahun yang diumumkan Kementerian Pendidikan baru-baru ini, Lam Thye mengesyorkan semua sekolah termasuk universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi menjalani audit keselamatan sekurang-kurangnya dua tahun sekali bagi membendung kes kemalangan.

"Audit berkenaan membabitkan struktur bangunan dan infrastruktur asas termasuk makmal, kantin serta padang," katanya.

Katanya, dua tahun adalah jangka sederhana bagi melakukan audit kerana ia mampu mengurangkan kadar kemalangan membabitkan murid, warga sekolah dan universiti secara keseluruhannya.

"Sekolah dan universiti adalah tempat terbaik untuk mendidik generasi muda mengenai kepentingan menjaga keselamatan serta kesihatan, selain lokasi pekerjaan bagi guru dan kakitangan sokongan," katanya.

Berita Harian X