Rabu, 2 November 2016 | 4:36pm
DEWAN Negeri Selangor (DNS). - Foto Roslin Mat Tahir
DEWAN Negeri Selangor (DNS). - Foto Roslin Mat Tahir

Kertas siasatan pencemaran Sungai Semenyih siap

SHAH ALAM: Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sudah melengkapkan kertas siasatan kes pencemaran di Sungai Semenyih, bulan lalu.

Ia bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap kilang yang mencemarkan Sungai Semenyih, sehingga menjejaskan lebih sejuta pengguna, baru-baru ini.

EXCO Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Elizabeth Wong, berkata tindakan terhadap premis itu dibuat mengikut Akta Kawalan Alam Sekitar 1974 dan Seksyen 79(1)(d) Enakmen LUAS 1999.

"JAS dan LUAS sudah buka kertas siasatan yang pada ketika ini sudah selesai. Kertas siasatan ini akan dihantar ke Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Johan Abdul Aziz (BN-Semenyih) yang ingin tahu status kilang yang mencemarkan Sungai Semenyih.

Johan juga ingin tahu jumlah gangguan air pada tahun ini dan pemantauan terhadap kilang di sepanjang Sungai Semenyih dan Sungai Selangor.

Elizabeth berkata, Loji Rawatan Air Sungai Semenyih, Langat dan Cheras terpaksa menghentikan operasi sebanyak lapan kali, iaitu pada 22,23 dan 24 September dan 3,7,8,23, 28 Oktober.

Mengulas lanjut, katanya, antara 2013 sehingga 2016, sebanyak sebanyak 48 premis dikenakan kompaun dan 20 premis dikenakan tindakan mahkamah kerana gagal mematuhi piawaian pelepasan sisa buangan.

Berita Harian X