Isnin, 31 Oktober 2016 | 12:08pm

Bekalan air di 4 daerah pulih sepenuhnya

KUALA LUMPUR: Bekalan air di empat daerah di Lembah Klang yang terjejas berikutan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih Jumaat lalu, kini pulih sepenuhnya.

Empat daerah berkenaan, Hulu Langat, Petaling, Sepang dan Kuala Langat terjejas berikutan pencemaran bau dikesan berpunca di Sungai Buah.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah, berkata pihaknya merakamkan penghargaan atas kerjasama dan kesabaran pengguna dalam tempoh gangguan bekalan.

"Mereka yang ingin mendapatkan maklumat mengenai bekalan air boleh melayari www.syabas.com.my, aplikasi telefon pintar mySyabas, Facebook Puspel Syabas atau Air Selangor," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Penutupan LRA Sungai Senyih kali keenam itu menjejaskan kira-kira 1.6 juta pengguna di empat daerah berkenaan, susulan benteng yang dibina di Kampung Sungai Buah bagi menghalang air tercemar mengalir ke Sungai Semenyih pecah.

Berikutan itu, Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membina empat benteng baharu, selain menggunakan serbuk Powder Activated Carbon (PAC) bagi merawat sungai yang tercemar.

Berita Harian X