Sabtu, 29 Oktober 2016 | 5:39pm

Boleh buat kerja sukarela setahun sebelum kembali belajar

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. - Foto Iqmal Haqim Rosman
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. - Foto Iqmal Haqim Rosman

JERTIH: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merangka program sukarelawan selama setahun untuk mematangkan pelajar universiti sebelum menamatkan pengajian.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata melalui program itu, pelajar tahun dua atau tiga dibenarkan keluar menyertai mana-mana program sukarelawan selama setahun sebelum kembali ke universiti.

Menurutnya, program sukarelawan merangkumi membantu masyarakat, menolong orang kurang upaya (OKU) dan sebagai tutor sukarela di sekolah.

"Pelaksanaan program ini boleh membabitkan beberapa agensi kerajaan seperti polis dan Imigresen.

"Berbanding kursus seperti Biro Tatanegara, pelajar akan terus menimba pengalaman bekerja secara langsung dengan agensi berkaitan dan melihat bagaimana mereka berperanan dalam masyarakat," katanya selepas merasmikan Program Komuniti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Warisan Seni dan Rasa di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Mahdi Musa; Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi A Latif; dan Ketua Setiausaha KPT, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur.

Idris berkata, tempoh pengajian akademik sedia ada akan dikekalkan manakala tempoh setahun ditambah bagi membolehkan mereka berkecimpung dalam aktiviti sukarelawan.

"Mereka juga boleh berkhidmat di kem pelarian selama setahun dan bercampur dengan masyarakat sebelum kembali ke tempat pengajian," katanya.

Berita Harian X