Jumaat, 28 Oktober 2016 | 8:57pm

LRA Semenyih ditutup lagi buat kali ke-6 petang tadi

Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.
Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

KUALA LUMPUR: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang mula beroperasi Ahad lalu kini kembali ditutup buat kali keenam pada petang tadi sekali gus menyebabkan 1.6 juta pengguna di Lembah Klang terjejas.

Penutupan itu dilakukan berpunca daripada pencemaran bau yang dikesan di muka sauk loji berkenaan.

Perkara itu disahkan Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah ketika dihubungi sebentar tadi.

Pencemaran itu dikesan berikutan benteng yang dibina sejak Ahad lalu pecah bagi menyekat aliran air Sungai Buah yang tercemar memasuki Sungai Semenyih.

BH sebelum ini melaporkan hasil siasatan pasukan Air Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan pembuangan sisa tercemar di lereng bukit KM46.9 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) di Nilai, Negeri Sembilan sebelum mengalir ke Sungai Buah dan seterusnya bercampur dengan Sungai Semenyih.

Pasukan khas juga akan ditubuh dalam tempoh terdekat membabitkan agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor bagi menangani isu pencemaran sungai di Selangor.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata keputusan itu dicapai hasil pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang diadakan di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini, kelmarin.

Berita Harian X