Khamis, 27 Oktober 2016 | 2:02pm

Hubungan erat monarki dan institusi kerajaan penentu kestabilan

TUNKU Zain Al-Abidin (lima dari kiri) pada Wacana Naskhah Kesultanan Melayu: Pemerintahan dan Politik di DBP Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Shiraz Ali
TUNKU Zain Al-Abidin (lima dari kiri) pada Wacana Naskhah Kesultanan Melayu: Pemerintahan dan Politik di DBP Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Shiraz Ali

KUALA LUMPUR: Kestabilan sesebuah kerajaan dalam sistem raja berperlembagaan bergantung kepada kerjasama erat dengan sistem monarki di sesebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan berkenaan.

Kerjasama yang lemah pula akan menggugat kestabilan pemerintahan dan mengganggu kelangsungan sistem monarki sebagai sebahagian sistem pemerintahan.

Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz, berkata prinsip kerjasama yang erat itu dititikberatkan dalam sejarah bangsa sehingga tertulis sejak dulu seperti termaktub dalam naskhah sastera Melayu termasuk Sejarah Melayu.

"Karya sastera sama ada ia cereka, sastera sejarah atau sastera ketatanegaraan bukan hanya merakam kisah manusia, bahkan ideologi yang tersirat," katanya ketika merasmikan Wacana Naskhah Kesultanan Melayu: Pemerintahan dan Politik di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah DBP, Abdul Adzis Abas; Timbalan Pengarah (Dasar) DBP, Datuk Abang Salehuddin Abang Shoekran dan Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera DBP, Dr Mohd Hanafi Ibrahim.

Tunku Zain Al-Abidin berkata, naskhah Sejarah Melayu meletakkan tanggungjawab kesejahteraan negara kepada perilaku raja dan rakyat sehingga sekiranya raja menzalimi rakyat, akan berlaku huru-hara dan begitu juga sebaliknya.

"Naskhah kesultanan Melayu diwujudkan antara lain sebagai mekanisme mengawal perlakuan dan membentuk peraturan dalam masyarakat yang kemudiannya menjadi akar umbi kepada pembentukan undang-undang di Tanah Melayu," katanya.

Bagaimanapun tegas Tunku Zain Al-Abidin, peredaran zaman menjadi cabaran terbesar khususnya dalam aspek ekonomi, politik dan sosial.

"Dalam hal ini kita perlu bersedia sama ada dalam aspek fizikal mahu pun mental untuk mendepani cabaran mendatang, belajarlah dari sejarah," katanya

Wacana Naskhah Kesultanan Melayu yang dikendalikan oleh Bahagian Penyelidikan Sastera DBP sejak 2014 adalah usaha untuk menghasilkan kajian dan dapatan baharu mengenai sistem pemerintahan dan politik kesultanan Melayu.

Berita Harian X