Selasa, 25 Oktober 2016 | 3:28pm

Mohamed Azmin enggan dedah bukti sabotaj

 MENTERI Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap pada majlis Perasmian Jambatan Projek Jambatan Ke 3 Klang. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
MENTERI Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap pada majlis Perasmian Jambatan Projek Jambatan Ke 3 Klang. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

KLANG: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, membayangkan tidak perlu baginya mendedahkan bukti dakwaannya wujud unsur sabotaj membabitkan kes pencemaran air di negeri itu.

Beliau yang mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar, semalam, berkata ia berikutan laporan polis sudah dibuat Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi pihak kerajaan negeri.

"Biarlah polis siasat. Dua laporan polis sudah dibuat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penyambungan Jambatan Ketiga Klang, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin ketika ditanya apa yang menyebabkan beliau mendakwa kejadian pencemaran bau pada bekalan air yang memasuki Sungai Semenyih itu disebabkan sabotaj, berkata ia berdasarkan kepada kekerapan kejadian sedemikian berlaku.

"Selain itu, cara pencemaran dan kelewatan jabatan serta agensi Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan. Kita laporkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada jam 6.10 petang Ahad lalu, tetapi JAS turun ke lokasi tengah hari semalam. Bagaimana anda nak dapatkan bukti?" katanya.

Bagaimanapun, ditanya jika beliau menganggap JAS sudah mengetahui kes itu berlaku menyebabkan jabatan terbabit tidak turun ke lokasi, Mohamed Azmin berkata, beliau tidak tahu sama ada pihak berkenaan sudah mempunyai maklumat itu terlebih dulu.

"Kita yang beri tahu JAS. Saya tidak tahu sama ada mereka sudah mengetahuinya (lebih awal) atau tidak," katanya.

Berita Harian X