Selasa, 25 Oktober 2016 | 11:03am

Malaysia dikategori negara keberhutangan sederhana - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjawab soalan ketika sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen. - Foto Asyraf Hamzah
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjawab soalan ketika sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan masih terkawal dan negara dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana.

Perdana Menteri berkata, sehingga akhir Jun lalu, jumlah hutang negara adalah RM655.7 bilion atau 53 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, daripada jumlah itu, 95.9 peratus atau RM626.8 bilion adalah hutang domestik, manakala 4.1 peratus atau 26.9 bilion adalah pinjaman pesisir.

"Kedudukan hutang Persekutuan kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana. Hutang yang dibuat kerajaan bertujuan membiayai defisit berikutan kekurangan hasil bagi menampung perbelanjaan pembangunan kerajaan.

"Pinjaman yang dibuat itu digunakan untuk pembiayaan yang produktif dan menyokong pertumbuhan ekonomi serta manfaat rakyat seperti pembinaan sekolah, hospital, jalan raya dan empangan.

"Secara tidak langsung, ia akan memberi manfaat kepada sektor swasta melaksanakan pelbagai program dan aktiviti ekonomi," katanya.

Perdana Menteri menjawab pertanyaan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Haru Narrashid (BN-Kota Tinggi) ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Noor Ehsanuddin bertanya berapakah jumlah hutang negara dan jumlah jaminan kerajaan serta apakah tujuannya berdasarkan Bajet 2017.

Berita Harian X