Isnin, 24 Oktober 2016 | 6:47pm

Tiga empangan di Melaka di paras kritikal

EMPANGAN Durian Tunggal berada pada paras amaran. - Foto Khairunisah Lokman
EMPANGAN Durian Tunggal berada pada paras amaran. - Foto Khairunisah Lokman

AYER KEROH: Kerajaan Melaka mengesahkan tiga empangan di negeri ini berada pada paras kritikal apabila mencatatkan penurunan mendadak sejak tiga hari lalu.

Empangan berkenaan adalah Empangan Jus dan Asahan masing-masing di daerah Jasin dan Empangan Durian Tunggal di daerah Alor Gajah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata walaupun terdapat hujan di kawasan tadahan air sejak beberapa hari lalu, namun peratusan air di ketiga-tiga empangan terbabit masih tidak meningkat.

"Sehingga tengah hari semalam, Empangan Asahan mencatatkan paras air sebanyak 60 peratus, diikuti Empangan Jus (39 peratus) dan Durian Tunggal (35 peratus).

"Kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan akan melakukan catuan bekalan air kepada pengguna secara berperingkat dalam tempoh terdekat jika paras air masih tidak berubah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Idris berkata, beliau juga akan mengadakan mesyuarat khas bersama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) bagi membincangkan perkara itu, termasuk kedudukan terkini paras air di ketiga-tiga empangan berkenaan.

"Sehingga semalam juga, paras air di tiga empangan terbabit mencatatkan penurunan kira-kira satu peratus dan saya sendiri akan memantau rapat perkembangan ini bersama pihak SAMB.

"Pada masa sama, kerja pembenihan awan turut giat dilaksanakan, selain kerajaan negeri akan menganjurkan majlis bacaan Yasin, tahlil dan solat hajat memohon hujan di Masjid Machap, Alor Gajah dalam tempoh terdekat," katanya.

Berita Harian X