Ahad, 23 Oktober 2016 | 2:04pm

LRA Semenyih ditutup sementara, 456 kawasan terjejas

KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) mengumumkan penutupan sementara Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih akibat pencemaran bau di air mentah.

Berikutan itu, SYABAS dalam laman Facebooknya memaklumkan, akan berlaku gangguan bekalan air sementara di beberapa kawasan di daerah Hulu Langat, Petaling, Sepang dan Kuala Langat.

Lebih 450 kawasan terjejas dengan pencemaran itu, membabitkan 220 kawasan di daerah Hulu Langat; Petaling (60), Sepang (86) dan Kuala Langat (90).

"Kami akan menggerakkan aset bagi menyalurkan bantuan bekalan air kepada pengguna terjejas. Masa pemulihan tidak dapat ditentukan buat masa ini dan bergantung kepada pengoperasian semula loji," kata kenyataan itu.

Senarai terperinci kawasan terjejas serta maklumat berkaitan, boleh diperoleh melalui aplikasi telefon pintar mySyabas di Google Playstore atau App Store atau facebook Puspel Syabas, facebook Air Selangor atau www.syabas.com.my.

Berita Harian X