Khamis, 20 Oktober 2016 | 12:53pm

Sultan Selangor harap prosiding mahkamah lebih cekap

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (3 kiri) berkenan bersama Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria (2 kiri) melihat pameran Buku Daftar Kes tahun 1955 yang masih tersimpan rapi ketika Majlis Perasmian Mahkamah Klang. Turut hadir Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin (kanan). - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (3 kiri) berkenan bersama Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria (2 kiri) melihat pameran Buku Daftar Kes tahun 1955 yang masih tersimpan rapi ketika Majlis Perasmian Mahkamah Klang. Turut hadir Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin (kanan). - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap prosiding mahkamah akan menjadi lebih cekap, lancar dan cepat apabila ia kini dilengkapi dengan kemudahan yang canggih berbanding dahulu.

Baginda bertitah, dengan itu, masalah kes-kes tertangguh yang membebankan mahkamah selama ini akan dapat dikurangkan.

Titah baginda, kes-kes tertangguh dan kelewatan perbicaraan di mahkamah menimbulkan banyak rungutan dan perasaan tidak puas hati banyak pihak.

"Kes-kes tertunggak dan kelewatan perbicaraan sedikit sebanyak menjejaskan imej kehakiman kerana tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh yang sepatutnya.

"Akibatnya, masyarakat mempunyai persepsi negatif terhadap mahkamah dan orang ramai merasa tawar hati untuk mengambil tindakan bagi mendapatkan pertimbangan dan menegakkan hak-hak mereka di mahkamah," titah Baginda.

Sultan Sharafuddin Idris Shah sebentar tadi berkenan merasmikan bangunan baharu Mahkamah Klang, di sini, pagi ini.

Turut berangkat hadir Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abd Rahman.

Baginda diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Titah baginda, warga kerja Mahkamah Selangor juga perlu bersikap mesra pelanggan dan mengutamakan sikap profesionalisme pada setiap masa dan keadaan.

Justeru, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, dengan komitmen yang bersungguh-sungguh dari semua pihak, Baginda percaya kes-kes di mahkamah akan dapat diselesaikan dengan cepat dan efisyen.

"Masa terus berlalu dan didapati jumlah kes di mahkamah semakin bertambah dari tahun ke tahun. Oleh itu, penambahan bilangan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret serta Bilik Bicara amat diperlukan.

"Beta juga di fahamkan bahawa setiap Mahkamah terbuka di Mahkamah Klang ini dilengkapi dengan kemudahan 'CRT' (Court Recording and Transcription System).

"Sistem 'CRT' ini membolehkan pengguna melihat semula rakaman video dan visual prosiding yang sedang berlangsung," titah Baginda.

Berita Harian X