Khamis, 20 Oktober 2016 | 10:04am

Jatuh eskalator: Nur Akilah stabil

GEORGETOWN: Kanak-kanak perempuan yang retak tempurung kepala selepas terjatuh daripada eskalator sebuah kompleks beli-belah di Bukit Jambul, Ahad lalu, kini dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid, berkata Nur Akilah Amani Zuraimi Hashim, 2, sudah mula menunjukkan tindak balas positif.

"Mangsa tidak lagi menggunakan bantuan mesin pernafasan dan keadaan mangsa menunjukkan pergerakan positif.

"Bagaimanapun, mangsa masih belum sedarkan diri," katanya dalam kenyataan pagi ini.

Ahad lalu, Nur Akilah yang didukung di bahu bapanya, terjatuh dari tingkat satu di eskalator sebuah pusat beli-belah di Bukit Jambul.

Kejadian itu berlaku ketika bapa mangsa yang sedang menaiki tangga eskalator untuk ke tingkat satu pusat beli-belah berkenaan panik apabila tangan anak sulungnya yang berjalan bersamanya ketika itu tersepit.

FOTO diambil daripada rakaman video yang menjadi viral di media sosial.
FOTO diambil daripada rakaman video yang menjadi viral di media sosial.

Berita Harian X