Rabu, 19 Oktober 2016 | 11:52am

Kerajaan Pusat mahu kuasa tutup kilang haram tepi sungai

MENTERI Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto Mohammad Shahril Badri Saali
MENTERI Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto Mohammad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan bercadang mengambil alih kuasa daripada kerajaan negeri bagi mengatasi masalah pencemaran sungai disebabkan oleh kilang haram yang beroperasi berhampiran sungai.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata ia berikutan kerajaan negeri didapati tidak serius dalam menangani pencemaran seperti berlaku di Sungai Semenyih, Selangor, bulan lalu.

Sehubungan itu, katanya, satu mesyuarat Majlis Alam Sekitar Negara akan diadakan Isnin depan bagi berbincang mengenai keputusan membolehkan Kerajaan Persekutuan diberi kuasa untuk menutup kilang haram di tepi sungai.

"Pada mesyuarat ini, saya akan senaraikan kilang dan premis yang beroperasi di tepi sungai yang berpotensi berlaku pencemaran. Jika majlis bersetuju, kementerian akan diberi kuasa untuk mendaftarkan kilang atau premis haram ini.

"Selepas menjadi premis yang didaftarkan, barulah kita menerusi Jabatan Alam Sekitar boleh ambil tindakan undang-undang termasuk menutup operasi mereka.

"Saya pernah minta kerjasama kerajaan negeri supaya mengambil tindakan terhadap kilang dan premis haram ini, tapi ia tidak berlaku. Jadi, saya sendiri perlu ambil tindakan," katanya pada sidang media di lobi Bangunan Parlimen di sini, sebentar tadi.

BH sebelum ini melaporkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa ditutup semula buat kali ketiga pada 22 September lalu berikutan pencemaran di Sungai Lalang, Semenyih, oleh sebuah kilang haram sehingga menjejaskan lebih 1.2 juta pengguna di kawasan sekitar.

Berita Harian X