Selasa, 18 Oktober 2016 | 3:50pm

Ibu bapa kanak-kanak jatuh eskalator berdepan hukuman

PUTRAJAYA: Ibu bapa kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang terjatuh dari eskalator di kompleks beli-belah di Pulau Pinang, kelmarin, boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kecuaian.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata pihaknya kini menunggu hasil siasatan polis mengenai insiden itu.

Katanya, jika didapati bersalah, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-dua sekali.

"Pelbagai peringatan sudah diberikan seperti amaran di eskalator dan hebahan di media tapi kejadian seperti ini masih berlaku.

"Tindakan sama sudah diambil dalam beberapa kes kecuaian ibu bapa sebelum ini, terutama membabitkan kanak-kanak yang ditinggalkan di dalam kenderaan, cuma tidak dihebahkan," katanya pada sidang media sempena Majlis Penasihat dan Perunding Wanita (MPPW), di sini, hari ini.

Dalam kejadian di sebuah kompleks beli-belah di Bukit Jambul, Pulau Pinang, Ahad lalu, Nur Akilah Amani Zuraimi Hashim, 3, retak tempurung kepala dan mengalami pendarahan dalam kepala selepas terjatuh dari eskalator.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, kanak-kanak berkenaan yang diletakkan di bahu bapanya, terjatuh dari tingkat satu di eskalator berkenaan.

RAKAMAN CCTV kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun terjatuh dari eskalator di kompleks beli-belah di Pulau Pinang, kelmarin.
RAKAMAN CCTV kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun terjatuh dari eskalator di kompleks beli-belah di Pulau Pinang, kelmarin.

Berita Harian X