Isnin, 17 Oktober 2016 | 4:31pm

Program budi kekang pelajar terbabit gejala buli

SEPANG: Tindakan menggantung persekolahan wajar menjadi pilihan terakhir bagi menghukum pelajar yang didapati melakukan kesalahan serius.

Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia merangkap Pengasas Yayasan Budi, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata pelajar yang terbabit seharusnya diberi peluang kedua dengan menjalani pemulihan akhlak menerusi program bimbingan budi.

Jelas beliau, kebanyakan mereka yang terbabit dengan gejala buli sebenarnya tidak mengenal erti budi dan mengesyorkan supaya pendidikan budi dijadikan sebahagian daripada mata pelajaran bermula pada peringkat sekolah rendah lagi.

"Program budi perlu diterapkan pada pelajar dalam setiap aspek persekolahan supaya mereka dapat belajar hidup bermasyarakat dan saling menghormati, yang secara tidak langsung membentuk perwatakan mulia.

"Ini termasuk kegiatan seperti bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah, membersihkan tandas dan silaturahim bersama guru," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Derma Buku 2016 di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Bangkong (A), Sungai Pelek, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Guru Besar SK Bukit Bangkong (A), Norma Edros; Pegawai Pendidikan Daerah Sepang, Rosli Badri dan Penolong Pegawai Kemajuan Hal Ehwal Orang Asli Daerah Sepang, Sharizal Abu Shaari.

Semalam, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, dipetik sebagai berkata, pihaknya bercadang untuk mengenakan hukuman gantung persekolahan selama setahun kepada pembuli yang didapati melakukan kesalahan serius sebagai alternatif kepada hukuman buang sekolah.

Kata Rais, di Singapura umpamanya, masalah disiplin pelajar seperti itu tidak berlaku kerena mereka mempunyai program pendidikan khas bagi pelajar supaya mereka hormat dan berterima kasih kepada pemerintah, guru dan ibu bapa.

"Guru boleh diberi latihan bagi mengajar dan membimbing subjek budi ini di samping menjadikannya sebagai contoh sahsiah kepada pelajar," katanya.

Berita Harian X