Ahad, 16 Oktober 2016 | 10:20am

Air pasang besar: 28 kawasan di Kuala Perlis berisiko

TINJAUAN dari udara sekitar kawasan Kampung Tok Muda, Klang. - Foto ihsan Pengurusan Bencana Selangor
TINJAUAN dari udara sekitar kawasan Kampung Tok Muda, Klang. - Foto ihsan Pengurusan Bencana Selangor

KUALA PERLIS: Sebanyak 28 kawasan berisiko dijangka dilimpahi air laut berikutan fenomena air pasang besar di sepanjang pesisiran pantai Kuala Perlis, mulai esok hingga Selasa ini.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perlis, Mej (PA) Mohd Farid Ishak, berkata kawasan yang dikenal pasti ialah Kampung (Kg) Pulau Ketam, Kg Tengah, Kg Tandiap, Kg Seberang Alor, Kg Seberang Tok Pi dan Kg Puju.

Kawasan lain ialah Kg Tanah Baru, Kg Perak, Kg Belakang Kilang, Kg Sungai Siput, Taman Kuala Perlis, Kg Nelayan, Kg Tanah Baru, Taman Bukit Kubu, Taman Sentosa, Taman Peladang Jaya, Taman Utara Jaya Fasa 1 dan 2 serta Taman Berlian.

Selain itu, Kg Sungai Kurong Tengar, Kg Sungai Berembang, Kg Bohor Pahit, Kg Pulau, Kg Sg Baru, Kg Mengimang, Kg Sungai Belati, Kg Sungai Padang, Kg Padang Keria dan Kg Kuala Sanglang.

Mohd Farid berkata, banyak kawasan rendah di sepanjang pantai di negeri itu dijangka dilanda banjir kilat jika keadaan laut bergelora, angin kencang dan hujan berterusan berlaku serentak.

"APM Perlis bersiapa siaga menghadapi bencana ini. Orang ramai harus bersedia dan mengikut arahan jika diarahkan berpindah ke pusat penempatan," katanya selepas membuat pemantauan di sepanjang pantai Kuala Perlis, lewat malam tadi.

Antara pusat pemindahan yang disediakan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai; Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Khay Beng; Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis; Pejabat Kemas Kuala Perlis, SK Sungai Baru; SK Datuk Ahmad Musa dan SK Padang Keria.

"Walaupun air pasang dijangka sederhana, orang ramai tidak boleh mengambil ringan," kata Mohd Farid.

Katanya, air pasang tertinggi di pesisir pantai Kuala Perlis ialah pada jam 12.30 tengah malam tadi, yang mencecah 3.3 meter.

Ketinggian ombak dijangka melebihi 3.5 meter, esok dan lusa, yang melepasi tembok penghadang dan boleh menyebabkan banjir kilat.

Air pasang hari ini dijangka bermula jam 12.40 tengah hari dan boleh mencecah 3 meter tinggi.

- BERNAMA

Berita Harian X