Sabtu, 15 Oktober 2016 | 11:07pm

Muhammad Safwan juara Sayembara Deklamasi puisi Kemerdekaan

WAKIL universiti awam Malaysia, Muhammad Safwan Mohd Yusof menjuarai Sayembara Deklamasi puisi Kemerdekaan (SDPK) 2016. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
WAKIL universiti awam Malaysia, Muhammad Safwan Mohd Yusof menjuarai Sayembara Deklamasi puisi Kemerdekaan (SDPK) 2016. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Wakil universiti awam Malaysia, Muhammad Safwan Mohd Yusof menjuarai Sayembara Deklamasi puisi Kemerdekaan (SDPK) 2016.

Beliau yang mendeklamasikan puisi tulisan Solihin Osman, Membaca Merdeka membawa pulang piala pusingan Tun Ghafar Baba, wang tunai RM5,000, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Hadiah disampaikan oleh Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Dr Masrizal Muhammad dalam acara peringkat akhir SPDK 2016 dan Majlis Makan Malam Tiga Dekad SPDK yang berlangsung di Dewan Bankuet, Dewan Bahasa dan Pustaka malam ini.

Yang turur hadir Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan dan Ketua Akademi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abang Patdeli Abang Muhi yang mewakili Ketua Pengarah DBP.

Acara akhir yang menyaksikan lima peserta dipilih berentap peringkat akhir daripada 19 orang yang bertanding peringkat separuh akhir semalam.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh wakil Johor, Shahrul Nizam Mohd Aman dan wakil Kedah, Zaheera Ibrahim yang menerima wang tunai RM3,000 dan RM2,000 selain hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Terdahulu dalam ucapan perasmian Masrizal berkata, golongan karyawan seni tidak boleh dikesampingkan dalam pembangunan negara.

"Usaha penganjuran SPDK yang dimulakan oleh GAPENA sejak 1987 ini perlu dipuji kerana GAPENA bukanlah mempunyai sumber kewangan yang tetap.

"Sejak 2010 SDPK  dijayakan dengan kerjasama DBP dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang seharusnya diraikan kerana ia satu kejayaan besar kerana GAPENA adalah gerakan rakyat,"katanya.

Tegas beliau usaha penganjuran sayembara  ini sangat baik dalam memperkasakan semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia melalui pengucapan puisi.

SPDK yang menjangkau usia ke -30 tahun ini adalah sebahagian acara tahunan bagi meraikan sambutan bulan kemerdekaan.

Berita Harian X