Isnin, 10 Oktober 2016 | 11:12pm

SPAN, pemantau Air Selangor kesan pencemaran di Bentong

PETUGAS Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan pasukan pemantauan sungai Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengenal pasti punca pencemaran Sungai Semantan.
PETUGAS Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan pasukan pemantauan sungai Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengenal pasti punca pencemaran Sungai Semantan.

SHAH ALAM: Petugas Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan pasukan pemantauan sungai Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengenal pasti punca pencemaran bau air mentah dari Sungai Sementa, di Bentong, Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Elizabeth Wong, dalam satu kenyataan media berkata, punca pencemaran dikenal pasti di aliran pelepasan kilang yang disyaki berdekatan sungai manakala sampel air daripada aliran pelepasan premis dan di sungai diperoleh oleh kedua-dua pihak.

Beliau berkata, keputusan ujian awal dan maklumat daripada pemeriksaan hari ini, termasuk nama kilang yang disyaki sudah dimaklumkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang.

"Namun, pasukan tidak dapat memasuki premis yang disyaki kerana pegawai JAS Pahang tiada di tapak ketika pemeriksaan pagi tadi.

"Pasukan Air Selangor menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca pencemaran sejak malam Jumaat di Pahang.

"Bau berkenaan serupa seperti yang dikesan di portal keluar Sungai Serai dan muka sauk Sungai Langat (di Selangor) pada malam Jumaat. Hari ini, bau merebak setinggi 18 TON (Nombor Bau Nilai Ambang)," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Portal keluar Sungai Serai adalah tempat kemasukan bekalan air mentah ke Selangor melalui saliran paip yang dipamkan daripada muka sauk Sungai Semantan.

Elizabeth berkata, dapatan itu mendedahkan perkara yang bertentangan dengan kenyataan Pengarah JAS Pahang, Rosli Zul, bahawa air dibekalkan ke Selangor adalah bebas daripada pencemaran.

Katanya, berdasarkan kepada keputusan ujian awal sampel air yang diperoleh pada 7 dan 8 Oktober 2016 di portal keluar Sungai Serai bahan Teradekana, Pentadekana dan Heksdekana, iaitu sebatian yang menyumbang bau luar biasa dalam air mentah, dikesan dalam air berkenaan.

"Bau luar biasa adalah penunjuk yang menandakan ada sebatian yang biasanya tidak terdapat dalam air mentah dan sebagai langkah mencegah, Air Selangor terpaksa menutup Loji Rawatan Air (LRA) Langat dan Cheras pada malam Jumaat.

"Kedua-dua loji akan mula mendapatkan air mentah daripada Sungai Semantan di Pahang apabila isu pencemaran selesai. Sehingga itu, LRA Langat dan Cheras mengambil air mentah yang dilepaskan dari Empangan Langat.

"Kami menggesa JAS Pahang memeriksa kilang yang disyaki di Bentong dengan teliti. Sekiranya pencemaran bau berterusan, Projek Pemindahan Air Pahang-Selangor tidak boleh diteruskan kerana air daripada Sungai Semantan tidak boleh diguna oleh LRA," katanya.

Pada masa ini, pemulihan keseluruhan bekalan air di Hulu Langat, Zon 1 mencatat 88 peratus dan Zon 2 mencatat 100 peratus manakala di Kuala Lumpur, Zon 1 mencatat 58 peratus dan Zon 2 mencatat 70 peratus. Bantuan bekalan air akan terus dihantar dengan lori tangki ke kawasan terjejas.

Berita Harian X