Isnin, 10 Oktober 2016 | 6:20pm

Kerajaan negeri kena pastikan tiada aktiviti di rizab sungai

MENTERI Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar meletakkan batu karang sebagai tanda simbolik Pelancaran Management and Science University (MSU) Enviromental Sustainability Campaign 2016 di Dewan Canselor Management and Science University (MSU), Shah Alam. sambil disaksikan bersama Presiden Management and Science University (MSU) Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid (kiri). - Foto Roslin Mat Tahir
MENTERI Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar meletakkan batu karang sebagai tanda simbolik Pelancaran Management and Science University (MSU) Enviromental Sustainability Campaign 2016 di Dewan Canselor Management and Science University (MSU), Shah Alam. sambil disaksikan bersama Presiden Management and Science University (MSU) Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid (kiri). - Foto Roslin Mat Tahir

SHAH ALAM: Kerajaan negeri bertanggungjawab memastikan tiada sebarang aktiviti termasuk perkilangan dan perladangan dijalankan di kawasan tadahan air serta lembangan sungai, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, langkah itu perlu kerana mengikut Perlembagaan Persekutuan, bidang kuasa terhadap sungai juga terletak di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, kementeriannya lebih bersifat sebagai pemberi nasihat dan menyediakan kekuatan kepakaran teknikal serta bajet bagi melaksanakan usaha memastikan lembangan sungai serta kawasan tadahan air berada dalam keadaan selamat.

"Kerajaan negeri bertanggungjawab terhadap proses pemindahan kilang dan aktiviti berkenaan, malah (kenyataan) ini bukan hanya merujuk kepada Kerajaan Selangor semata-mata," katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Kempen Kemampanan Alam Sekitar MSU (MESC), di Dewan Canselor MSU, di sini, hari ini.

Wan Junaidi berkata, pada masa sama, pihaknya masih mengenal pasti punca pencemaran air yang menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Langat dan Cheras terpaksa ditutup pada malam Jumaat lalu.

Sebelum ini, EXCO Selangor, Elizabeth Wong, dalam satu kenyataan mendakwa pencemaran bau pada sumber air mentah itu dikesan dari Sungai Semantan di Pahang, namun ia dinafikan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang, Rosli Zul, semalam.

Wan Junaidi berkata, pada masa ini, jabatan terbabit sudah mengenal pasti beberapa kilang yang beroperasi berdekatan Sungai Semantan, namun siasatan lanjut perlu dilakukan untuk mengetahui adakah ia terbabit melepaskan efluen ke dalam sungai.

"Kita sudah mengenal pasti dua tiga kilang di Sungai Semantan, selain turut mengenal pasti aktiviti di Sungai Langat serta mencari siapa yang terbabit dalam pencemaran ini," katanya.

Difahamkan kilang terbabit yang terletak kira-kira 18 kilometer dari Sungai Semantan, terbabit dalam sektor perladangan.

Pada masa sama, Wan Junaidi berkata, beliau akan meminta JAS dengan kerjasama pejabat jabatan itu di setiap negeri, mengenal pasti aktiviti dijalankan di rizab sungai di kawasan masing-masing, khususnya kawasan yang menjadi sumber air.

"Saya akan minta mereka bahagikan (senarai itu) kepada dua iaitu aktiviti kilang (komersial) dan kediaman.

"Kita tidak tahu berapa ribu rumah kediaman dibina di kawasan rizab sungai dan adakah ada di antaranya yang menyimpan bahan boleh mencemari sumber air," katanya.

Berita Harian X