Ahad, 9 Oktober 2016 | 5:18pm
Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda.
Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda.

CUEPACS gesa percepatkan semakan dasar perumahan negara

KOTA BHARU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan mempercepatkan semakan terhadap dasar perumahan negara bagi memudahkan penjawat awam memiliki kediaman.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda, berkata kerajaan perlu melihat semula kaedah pembelian rumah kediaman yang diguna pakai ketika ini, terutamanya penjawat awam gred B40 dan M40.

Beliau berkata, pihaknya juga memberi cadangan supaya kerajaan menubuhkan satu tabung khas bagi membiayai pembeli rumah yang berpendapatan rendah.

"Difahamkan di Kelantan saja, rumah teres sudah mencecah harga RM400,000, kita harap kerajaan percepatkan masa untuk semak dasar perumahan negara kerana kita bimbang penjawat awam tidak mempunyai rumah," katanya ketika ditemui dalam sidang media di Program Sesi Dialog di Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi CUEPACS Kelantan, Izuddin Ab Rashid dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Wan Muhamad Sabri Wan Harun.

Azih berkata, pihaknya terus komited membawa kebajikan penjawat awam melalui cadangan pembiayaan insurans penjawat awam kepada kerajaan dari masa ke semasa sehingga diluluskan.

Pada masa sama, Azih meminta penjawat awam khususnya yang bekerja dalam bidang penguatkuasaan dilindungi insurans sebagai jaminan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini terutamanya ketika menjalankan tugas. 

Katanya, ketika ini penjawat awam berjawatan tetap tidak dilindungi sebarang skim perlindungan kecuali insurans peribadi yang diambil sendiri.

"Sekarang ini mereka hanya ada pencen, kita minta fikirkan inisiatif untuk diperkenalkan kerajaan kepada semua anggota yang jalankan tugas tapi berdepan risiko musibah dan malapetaka," katanya.

Berita Harian X