Sabtu, 8 Oktober 2016 | 10:20pm

LRA Langat, Cheras beroperasi semula

ELIZABETH Wong.
ELIZABETH Wong.

SHAH ALAM: Loji Rawatan Air (LRA) Langat dan Cheras masing-masing beroperasi semula jam 9 pagi dan 12 tengah hari tadi selepas ditutup semalam ekoran pencemaran bau disyaki dari Sungai Semantan, Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Elizabeth Wong, berkata bagaimanapun, pasukan pemantauan sungai Pengurusan Air Selangor dan Jabatan Alam Sekitar Pahang kini masih lagi berusaha mengenal pasti punca pencemaran itu.

Beliau berkata, bantuan bekalan air tetap akan disalurkan ke kawasan yang mengalami gangguan air sementara iaitu sekitar Kuala Lumpur, Petaling dan Hulu Langat sebagai langkah jangka pendek mengatasi masalah berkenaan.

"Penyaluran bekalan air akan mengikut jadual yang ditetapkan menggunakan lori tangki ke kawasan terjejas termasuk premis kritikal, misalnya hospital dan pusat dialisis," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wong berkata, bagi mengelak kesesakan di pusat panggilan SYABAS, pengguna dinasihati supaya memuat turun aplikasi telefon pintar 'mySYABAS' atau melayari www.syabas.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

LRA Langat dan Cheras ditutup masing-masing pada pukul 8.30 dan 10 malam tadi apabila alur keluar Sungai Serai yang menerima air dari saluran khusus di Sungai Semantan, Pahang, didapati mempunyai bau yang luar biasa pada 7.30 malam.

Baru-baru ini, Loji Rawatan Air Semenyih ditutup empat kali berikutan pencemaran di Sungai Semenyih yang mengakibatkan gangguan air di beberapa kawasan seperti daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling.

Operasi di Loji Rawatan Air Semenyih akan bersambung pada Rabu. - BERNAMA

Berita Harian X