Jumaat, 7 Oktober 2016 | 3:49pm

Helikopter terhempas: Gotong-royong bersihkan SMK Balung

ANGGOTA tentera menjalankan kerja pembersihan runtuhan di dewan SMK Balung serta kawasan sekitarnya yang rosak susulan nahas helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kelmarin. - Foto Abdul Rahemang Taiming
ANGGOTA tentera menjalankan kerja pembersihan runtuhan di dewan SMK Balung serta kawasan sekitarnya yang rosak susulan nahas helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kelmarin. - Foto Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Kira-kira 50 orang menyertai gotong-royong membersihkan sisa runtuhan struktur bangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung, pagi tadi, akibat dirempuh helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kelmarin.

Sebelum memulakan gotong-royong pada jam 8.30 pagi, peserta yang terdiri daripada warga sekolah itu, ibu bapa dan anggota TUDM turut menjayakan Majlis Bacaan Yassin dan Solat Hajat anjuran pihak sekolah di surau sekolah itu yang bermula jam 7.30 pagi.

Pengetua SMK Balung, Mat Noor Sima, berkata kedua-dua program itu diadakan khas untuk memulihkan semangat dan keceriaan sekolah sempena Program Pasca Insiden Nuri 41016.

"Alhamdulillah, program hari ini berjalan lancar. Kita juga membuat persiapan bilik darjah untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dijadualkan pada Isnin ini," katanya kepada BH sebentar tadi.

SMK Balung sebelum ini terpaksa ditutup empat hari sejak Selasa lalu berikutan faktor keselamatan dan kerja pengalihan helikopter Nuri yang dilakukan TUDM.

Dalam kejadian jam 9.05 pagi Selasa lalu, sebuah helikopter Nuri TUDM mendarat cemas di bumbung dewan terbuka di SMK Balung menyebabkan 22 orang cedera iaitu 13 anggota TUDM, lapan pelajar dan seorang pekerja pembersihan SMK Balung.

Berita Harian X