Khamis, 6 Oktober 2016 | 4:35pm

Kilang haram punca pencemaran air disiasat

SEBUAH kilang kitar semula minyak enjin kenderaan di Sungai Lalang, Semenyih, diarahkan tutup serta-merta selepas dipercayai menjadi punca pencemaran bau Sungai Semenyih hingga menyebabkan kehidupan lebih sejuta penduduk di kawasan sekitar terjejas. - Foto Aizuddin Saad
SEBUAH kilang kitar semula minyak enjin kenderaan di Sungai Lalang, Semenyih, diarahkan tutup serta-merta selepas dipercayai menjadi punca pencemaran bau Sungai Semenyih hingga menyebabkan kehidupan lebih sejuta penduduk di kawasan sekitar terjejas. - Foto Aizuddin Saad

PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang menyiapkan kertas siasatan berhubung kilang di Sungai Lalang, Semenyih yang beroperasi secara haram dan dipercayai menjadi punca pencemaran air dan bau di sungai berkenaan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata sebaik kertas siasatan siap, ia akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk diteliti sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Katanya, kilang berkenaan sudah ditutup dan barang yang terdapat di dalam kilang itu disita manakala kes disiasat mengikut Seksyen 34(B)(1)(b) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Mengenai tindakan, kita serahkan kepada Peguam Negara tetapi yang menjadi persoalannya sekarang ialah kenapa kilang berkenaan tidak dirobohkan sebelum ini berikutan ia adalah kilang haram. Itu perkara asasnya.

"Mengapa ia tidak diroboh, sebaliknya dibenarkan beroperasi (sehingga menjadi punca pencemaran Sungai Semenyih) dan mengakibatkan gangguan bekalan air yang serius," katanya pada sidang media selepas melancarkan Prime Minister's Hibiscus Award 2016/17, di sini, hari ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan sebuah kilang kitar semula minyak enjin kenderaan di Sungai Lalang, Semenyih, diarahkan tutup serta-merta selepas dipercayai menjadi punca pencemaran bau Sungai Semenyih hingga menyebabkan kehidupan lebih sejuta penduduk di kawasan sekitar terjejas.

Mengikut akta berkenaan, pemilik premis kilang haram boleh dikenakan denda RM500,000 dan penjara lima tahun jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi berkata kerajaan sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk penambahbaikan ban di sepanjang pantai sebagai persediaan menghadapi fenomena air pasang besar.

Berita Harian X