Ahad, 25 September 2016 | 2:16pm

Bekalan air pulih secara berperingkat bermula hari ini

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah.
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah.

PUTRAJAYA: Bekalan air kepada 337,000 akaun pengguna di empat daerah terjejas iaitu Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling dan Sepang dijangka pulih secara berperingkat mulai hari ini.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah, berkata proses pemulihan bekalan air ini mengambil masa kerana membabitkan penyaluran dan agihan bekalan ke kawasan yang luas dan jumlah pengguna yang ramai.

"Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih sudah mula beroperasi sejak jam 2.30 petang semalam selepas kerja membersihkan pencemaran dilakukan.

"Jadi, sebahagian kawasan sudah menerima bekalan air, manakala sebahagian lagi mungkin belum terima.

"Kami berharap pengguna bersabar kerana kami sedang giat melaksanakan proses meningkatkan paras air kolam terbabit bagi mempercepatkan pemulihan bekalan kepada pengguna," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Amin berkata, pengguna yang memerlukan bekalan air boleh menghubungi talian bebas tol 1-800 88-5252 atau menggunakan aplikasi telefon bimbit pintar 'mySYABAS' dan www.syabas.com.my dengan menghantar maklumat mengenai kawasan terbabit.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya kini sedang melakukan siasatan terperinci untuk mengenalpasti punca pencemaran sungai di sepanjang sungai, dan kawasan yang disyaki adalah kawasan Hitech Semenyih.

"Siasatan bukan hanya dilakukan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), tetapi turut membabitkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS)," katanya.

Kawasan yang sedang mengalami gangguan bekalan air sementara ketika ini adalah daerah Hulu Langat meliputi Bangi, Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Semenyih dan Rinching; daerah Kuala Langat meliputi Morib, Banting, Bandar Saujana Putra, Bandar Rimbayu dan Telok Panglima Garang.

Sementara daerah Petaling termasuk mereka yang tinggal di USJ 1- 27, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang manakala daerah Sepang meliputi Putrajaya, Cyberjaya, Bandar Nusa Putra, Putra Heights, Pulau Meranti, Kota Warisan, Bandar Bukit Puchong dan Sungai Merab.

Berita Harian X