Jumaat, 9 September 2016 | 6:00pm

Kementerian berkuasa benarkan pemaju biayai pinjaman perumahan

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar (tiga dari kiri) melawat sebahagian rumah kekal mangsa banjir pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kekal Banjir (RKB) di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang hari ini. Turut sama Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (tiga dari kanan). - Foto BERNAMA

GUA MUSANG: Keputusan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan membenarkan pemaju perumahan menyediakan kemudahan pembiayaan perumahan kepada pembeli rumah adalah mengikut bidang kuasa kementerian itu.

Langkah itu sekali gus dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi pembeli rumah kerana terhalang dengan syarat ketat dikenakan institusi kewangan.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata beliau membuat keputusan itu juga kerana banyak menerima keluhan pemaju perumahan yang gagal menjual rumah siap dibina disebabkan masalah pembeli sukar mendapat pinjaman bank.

Beliau mengakui menerima banyak komen negatif daripada pihak yang tidak senangi dengan dasar diumumkan itu demi untuk menyelesaikan masalah halangan pinjaman dan kegagalan pemaju menjual rumah.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar (dua, kanan) menyampaikan replika kunci kepada sebahagian penerima pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kekal Banjir (RKB) di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang hari ini. - Foto BERNAMA

"Dengan adanya kemudahan saluran pinjaman itu (menerusi pemaju perumahan), pembeli rumah boleh buat pilihan sama ada hendak membuat pinjaman dengan bank atau pemaju," katanya kepada pemberita selepas menyerah kunci rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada 31 mangsa banjir pada Disember 2014 di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah; Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohammad Mentek; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab Aziz Yusof.

Beliau berkata demikian ketika diminta pengulas kenyataan dalam media semalam bahawa pemaju perumahan dibenar membiayai pinjaman perumahan kepada pembeli dengan memohon lesen pinjaman wang dengan kementerian itu.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bukan untuk membelakangkan institusi kewangan, sebaliknya bagi memberi dua pilihan kepada pembeli rumah untuk membuat pinjaman.

"Seperti sebuah artikel yang saya baca dalam akhbar sebelum ini ada seorang warga emas yang pencen dari jabatan kerajaan membeli rumah, tetapi rumah terbengkalai sedangkan bayaran dipotong dari wang pencen setiap bulan melalui pinjaman bank.

"Jadi, apabila pemaju diberi kelulusan memberi pinjaman kepada pembeli mungkin masalah itu tidak berlaku kerana pemaju mesti siap projek dahulu sebelum dibenarkan buat pemotongan pinjaman," katanya.

Berita Harian X