Khamis, 8 September 2016 | 3:07pm

APM cadang naikkan elaun anggota sukarela

Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM) Datuk Ogu Salim Omar (dua,kiri) beramah mesra dengan sebahagian penerima watikah pegawai bersekutu APM pada Majlis Penutupan Perhimpunan Pasukan Institusi Pertahanan Awam Kolej Komuniti Peringkat Kebangsaan 2016 hari ini.Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Amir Md Noor (kiri). - Foto BERNAMA

KEPALA BATAS: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bercadang menambah elaun perkhidmatan sukarelawan agensi itu yang ketika ini dibayar pada kadar RM6 sejam.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Ogu Salim Omar, berkata perbincangan mengenai perkara itu masih di peringkat jabatan, namun pihaknya akan berusaha mendapatkan sokongan kementerian.

"Banyak perkara perlu diteliti untuk meningkatkan elaun ini kerana ia juga bergantung kepada belanjawan negara," katanya selepas merasmikan majlis Perhimpunan PISPA Kolej Komuniti Kebangsaan 2016 anjuran Bahagian Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti (JPKK) dan APM, di sini hari ini.

Seramai 220 pegawai dari 88 Kolej Komuniti seluruh negara menerima watikah Lantikan Pegawai Bersekutu Pertahanan Awam pada majlis berkenaan.

Sementara itu, Ogu Salim berkata, APM menyasarkan untuk meningkatkan jumlah sukarelawan dalam tempoh enam bulan akan datang kepada dua juta orang berbanding sejuta ketika ini seiring penjenamaan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kepada APM.

Berita Harian X