X
Ahad, 4 September 2016 | 12:57am
PENYAIR yang terlibat Deklamasi Puisi Asean 2016 di Dewan Bahasa dan Pustaka. - Foto Hasriyasyah Sabudin
PENYAIR yang terlibat Deklamasi Puisi Asean 2016 di Dewan Bahasa dan Pustaka. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Penyair negara ASEAN gegarkan pentas puisi

KUALA LUMPUR: Penyair dan deklamator dari lapan negara ASEAN berkongsi pentas melalui Deklamasi Puisi ASEAN 2016 di Auditorium Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) di sini, malam tadi.

Acara bertemakan 'Puisi: Untuk Diri Atau Masyarakat?' yang menutup Pertemuan Penyair ASEAN 2016 itu diadakan bersempena Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur (DiverseCity 2016).

Perbezaan bahasa dan budaya tidak menghalang hadirin yang memenuhi Auditorium DBP untuk menikmati deklamasi puisi termasuk oleh penyair Thailand, Suthathip Moralai yang mengalunkan puisi dalam bahasa ibundanya sambil diiringi alunan rebab.

Moralai turut menyampaikan puisi The Asean Spirit bagi menggambarkan semangat dan hubungan erat antara masyarakat rantau ini di sebalik pelbagai perbezaan budaya dan bahasa.

Selain Thailand, peserta negara lain yang berkongsi pentas dan mengalunkan puisi bertemakan kemanusiaan termasuk dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, Filipina, Kemboja dan Myanmar.Persembahan lain termasuk oleh Adiwangsa Sukma & Usim Ensemble, Arafat Hambali & Angin Liar, Nur Amelyana, Dr Lim Swee Tin, Dr Malim Ghozali PK, Muhammad Lutfi Ishak, Dr Shamsuddin Othman dan Dr Fuad Bebit dari Malaysia.

Turut tampil ialah Zawawi Imron dan Sastri Bakry dan Sumbar Talenta dari Indonesia, Sonjan Khan, K Manis dan Awang Mohamad Rajap (Brunei Darussalam); Dr Shirley Lua (Filipina); Hamed Ismail (Singapura); Kasem Jandam (Thailand) dan Han Lynn (Myanmar).

Berita Harian X