Khamis, 1 September 2016 | 6:07pm

Kawalan vektor di rumah pesakit Zika

PETUGAS Unit Vektor Pejabat Kesihatan Daerah Klang menabur serbuk Abate ketika melakukan pemeriksaan kawasan pembiakan nyamuk Aedes dari rumah ke rumah berikutan seorang wanita dikenal pasti dijangkiti virus zika di Bandar Botanik, Klang. - Foto Faiz Anuar
PETUGAS Unit Vektor Pejabat Kesihatan Daerah Klang menabur serbuk Abate ketika melakukan pemeriksaan kawasan pembiakan nyamuk Aedes dari rumah ke rumah berikutan seorang wanita dikenal pasti dijangkiti virus zika di Bandar Botanik, Klang. - Foto Faiz Anuar

KLANG: Pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah memulakan kawalan vektor di kawasan kediaman pesakit virus Zika di Bandar Botanik, di sini, sejak pagi tadi.

Selain kawasan kediaman wanita berusia 58 tahun itu, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Klang, turut menyasarkan lokasi yang pernah dilawati pesakit.

Pengarah Jabatan Kesihatan MPK, Azmi Muji, berkata aktiviti kawalan yang dilaksanakan termasuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes, 'larvaciding' dan semburan kabus.

Katanya, pada masa sama, ahli keluarga serta kenalan terdekat pesakit turut diperiksa dan dipantau sama ada mereka mengalami demam atau gejala Zika.

"Memandangkan ia kes pertama Zika yang dilaporkan di Malaysia, MPK akan bekerjasama dengan KKM dalam usaha memastikan penularan wabak ini dapat dibendung.

"Setakat ini, kerja pencegahan pemusnahan tempat pembiakan dan larvaciding sudah dijalankan di kawasan rumah pesakit oleh Pejabat Kesihatan Daerah Klang disusuli dengan kerja pengasapan (thermal fogging) dan pengabutan (ultra low volume).

"MPK akan mempertingkatkan aktiviti pencegahan di seluruh kawasan Klang terutama di kawasan yang sering mencatat peningkatan dalam kes denggi memandangkan demam Zika adalah penyakit virus yang disebarkan oleh nyamuk Aedes, iaitu vektor yang sama bagi demam denggi," katanya dalam satu kenyataan.

Tinjauan BH di kediaman pesakit petang ini mendapati, aktiviti semburan kabus sedang dijalankan di kawasan perumahan teres dua tingkat berkenaan termasuk pemeriksaan tempat pembiakan nyamuk di setiap rumah.

Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Chua, 67, berkata dia mula bimbang apabila mengetahui seorang penduduk di kejiranan berkenaan disahkan dijangkiti virus Zika yang sebelum ini hanya dilaporkan di luar negara termasuk negara jiran Singapura.

Berita Harian X