Ahad, 28 Ogos 2016 | 9:16pm

Usaha 3 negara elak Laut Sulu jadi tumpuan pengganas

Menteri Pertahanan merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (tiga dari kanan) merasmikan gimik pelancaran sambil diperhatikan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (dua dari kanan) dan Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam (tiga dari kiri) pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Katil di Dewan Tun Ali, Jalan Tun kudu, Bukit Katil, Melaka. - Foto NSTP/Rasul Azli Samad
Menteri Pertahanan merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (tiga dari kanan) merasmikan gimik pelancaran sambil diperhatikan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (dua dari kanan) dan Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam (tiga dari kiri) pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Katil di Dewan Tun Ali, Jalan Tun kudu, Bukit Katil, Melaka. - Foto NSTP/Rasul Azli Samad

MELAKA: Kerjasama kolektif membabitkan Malaysia, Indonesia dan Filipina terus dipertingkatkan bagi mencari penyelesaian untuk mengelakkan Laut Sulu menjadi lokasi tumpuan pengganas terutama militan negara Islam (IS).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata usaha itu dilakukan susulan mandat diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte membabitkan penyelarasan menangani kes penculikan dan kegiatan lanun di kawasan itu, baru-baru ini.

"Dalam konteks pertahanan di Laut Sulu, Malaysia mesti bekerjasama rapat dengan Indonesia dan Filipina. Masing-masing sedang memikirkan bagaimana ketiga-tiga negara ini dapat memastikan Laut Sulu tidak dilihat sebagai kawasan titik panas (bagi pengganas)," katanya pada sidang media di sini, petang tadi.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Katil di Dewan Tun Ali, Bukit Katil, di sini.

Yang turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan Ahli Dewan Negara yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Senator Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Hishammuddin berkata, penyelarasan itu perlu dilakukan berikutan peningkatan kes penculikan dan keganasan di wilayah Filipina oleh pemberontak Abu Sayyaf bersama militan IS yang merancang mewujudkan Daulah Islamiah di tiga negara terbabit.

"Pada masa sama, kita juga tidak mahu ada pembaziran dan pertindihan aset dan anggota, jadi kita memerlukan prosedur operasi standard (SOP) yang dapat dikongsi bersama negara ini supaya dapat digerakkan untuk berdepan ancaman yang menyebabkan ketidakstabilan serantau," katanya.

Katanya, bagi memperkukuhkan lagi pertahanan keselamatan di perairan itu, pihaknya juga sudah menempatkan sembilan pesawat Hawk dari pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan ke Pangkalan Udara Labuan.

Berita Harian X