Ahad, 21 Ogos 2016 | 5:23pm

Saya pilih ikut kehendak rakyat - Najib

Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan penyokong parti semasa menghadiri majlis perasmian Bulan Kemerdekaan dan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Tasek Gelugor di MIdtown Perda, Kubang Menerong hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan penyokong parti semasa menghadiri majlis perasmian Bulan Kemerdekaan dan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Tasek Gelugor di MIdtown Perda, Kubang Menerong hari ini. - Foto BERNAMA

TASEK GELUGOR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata keputusannya memilih menjadi pemimpin yang mendengar kata rakyat dan parti menyebabkan Tun Dr Mahathir Mohammad menjadi marah.

Najib berkata, beliau ditanya ketika di Jakarta mengapa Dr Mahathir terlalu marah kepadanya, dan menjawab bekas Perdana Menteri itu terlalu obses kepada kuasa.

Katanya, keadaan itu menyebabkan beliau hanya memiliki dua pilihan, iaitu perlu mendengar kata Dr Mahathir atau membuat keputusan sendiri demi rakyat dan parti.

"Jika memilih pilihan pertama, saya terpaksa rujuk apa-apa keputusan dan menghadapnya (Dr Mahathir) bagi mendapatkan persetujuan.

"Jadi saya pilih pilihan kedua iaitu menjadi Perdana Menteri yang membuat keputusan berdasarkan kehendak rakyat dan parti," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tasek Gelugor di Kubang Menerong di sini, sebentar tadi.

Perdana Menteri turut mengumumkan kelulusan pembinaan dua masjid baharu di Kampung Banggol Baru, Pokok Sena dan Masjid Permatang Bogak.

Mengulas lanjut, Najib berkata, keputusannya itu kemudian menyebabkan beliau diserang sama seperti yang dialami bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya diserang sama seperti dia serang Pak Lah (Abdullah). Bila Pak Lah bawa orang muda bantu beliau, mereka serang hingga sekarang, sampai bila keadaan ini berlarutan?

"Sebab itu saya minta ahli UMNO pertahankan parti jangan sampai misai mencecah tanah," katanya.

Berita Harian X