Sabtu, 20 Ogos 2016 | 4:52pm

Syarikat senaraian awam sumbang Tabung Pahlawan

SULTAN Nazrin berkenan memeriksa perbarisan pada Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam ke-35 di Universiti Malaya, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah
SULTAN Nazrin berkenan memeriksa perbarisan pada Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam ke-35 di Universiti Malaya, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mahu lebih banyak syarikat awam yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan syarikat persendirian yang meraih keuntungan jutaan ringgit setiap tahun tampil memberi sumbangan kepada Tabung Pahlawan.

Baginda menarik perhatian bahawa berasaskan kenyataan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Tabung Pahlawan tidak mendapat sokongan menggalakkan daripada masyarakat Malaysia.

"Jumlah derma yang diperoleh baik daripada syarikat mahupun daripada individu membuktikan bahawa tahap apresiasi masyarakat terhadap anggota keselamatan di negara ini, terutama pengorbanan besar mereka kepada negara bangsa, berada pada tahap amat rendah," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah pada Upacara Perbarisan Pentauliahan Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam (UA) ke-35, di sini hari ini.

Justeru, titah baginda, amatlah penting masyarakat di negara ini disedarkan supaya memberi penghargaan lebih bermakna atas pengorbanan anggota keselamatan yang membolehkan keamanan dan kemakmuran negara dinikmati.

"Gerakan menyedarkan masyarakat agar menghargai pengorbanan anggota keselamatan hendaklah dimulakan daripada bangku sekolah hingga ke peringkat pusat pengajian tinggi," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin memuji usaha universiti awam yang berjaya menarik minat siswa-siswi untuk menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes).

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Sultan Nazrin turut menyempurnakan istiadat pengurniaan Watikah Tauliah Diraja kepada 1,675 pegawai kadet Palapes merangkumi 774 pegawai kadet lelaki dan 901 pegawai kadet wanita daripada 18 universiti awam seluruh negara.

Ia adalah upacara terbesar dalam sejarah pentauliahan Palapes sejak 1982 dengan melibatkan 1,173 pegawai kadet darat, 205 pegawai kadet laut dan 297 pegawai kadet udara. - BERNAMA

Berita Harian X